Selasa, 29 Disember 2015 | 12:43pm

RM200 juta bangunkan industri tenusu negara


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kanan) ketika lawatan kerja sehari di ladang lembu tenusu Evergreen Livestock Sdn Bhd di Kampung Bomboi, Keningau. Hadir sama Pengarah Urusan Evergreen Livestock Sdn Bhd, Datuk Yap Yun Fook (dua dari kanan). - Foto Izhari Ariffin

KENINGAU: Kira-kira RM200 juta diperlukan untuk membangunkan industri tenusu negara khususnya bagi menambah jumlah lembu tenusu hingga mencapai 10,000 ekor dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata sasaran itu bagi memastikan pengeluaran susu segar untuk menampung keperluan negara mencapai tahap sara diri iaitu kira-kira 30 juta liter setahun.

Ketika ini, katanya, jumlah pengeluaran susu segar tempatan masih kecil dan perlu ditampung menerusi susu import dengan jumlahnya mencapai kira-kira 20 juta liter setahun.

"Jika kita ada 10,000 lembu tenusu, ia mampu menghasilkan kira-kira 30 juta liter susu iaitu purata pengeluaran 3,000 liter susu bagi setiap lembu.

"Jumlah itu sudah melebihi import susu dari Australia, New Zealand dan beberapa negara lain ketika ini yang mencecah kira-kira 20 juta liter setahun," katanya kepada pemberita selepas melawat ladang lembu tenusu Evergreen Livestock Sdn Bhd di Kampung Bomboi, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Evergreen Livestock Sdn Bhd, Datuk Yap Yun Fook.

Ladang Evergreen adalah antara ladang ternakan lembu tenusu terbesar dan moden di Sabah dengan memiliki kira-kira 5,000 lembu dan kapasiti pengeluaran 8.5 juta liter susu segar setahun atau 29 peratus daripada jumlah susu segar dikeluarkan di Sabah dalam setahun.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya akan membincangkan soal mendapatkan peruntukan untuk mencapai sasaran itu dan penyediaan kemudahan infrastruktur berkaitan dengan Kementerian Kewangan.

"Jika kita mahu membangunkan industri tenusu dan menggalakkan rakyat minum susu segar, kerajaan perlu melabur untuk meningkatkan pengeluaran sedia ada," katanya.

Beliau berkata, ada tiga mekanisme perlu diberi perhatian untuk mencapai tahap sara diri pengeluaran susu dalam masa lima tahun iaitu komitmen kerajaan, model penternakan yang digunakan dan jumlah penternak.

Berita Harian X