Isnin, 28 Disember 2015 | 6:03am

3 pelumba negara masih ada peluang ke Rio


PELUMBA basikal negara Mohd Azizulhasni Awang. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba negara, Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet hanya mempunyai tiga perlumbaan lagi untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata kejohanan penting itu adalah perlumbaan Hong Kong World Cup Classic yang berlangsung pada 16 hingga 17 Januari.

Selain itu, katanya, Kejohanan Lumba Basikal Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) di Jepun pada 26 hingga 30 Januari dan UCI Track Cycling World Championships di London pada 2 hingga 6 Mac.

"Mereka masih berpeluang meningkatkan mata kelayakan dan kami mendoakan serta berharap tiga pelumba negara ini layak ke Sukan Olimpik 2016," katanya selepas penyampaian hadiah Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan 2015 di Velodrom Cheras, di sini, semalam.

Pada Sukan Olimpik London 2012, Mohd Azizulhasni berada pada tempat kelapan selepas gagal mara ke peringkat akhir pecut sekali gus mengulangi pencapaian di Olimpik Beijing 2008 yang tersasar daripada matlamat pingat.

Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai 'The Pocketrocketman' juga menduduki tempat terakhir daripada lima pelumba bagi acara Keirin di Sukan Olimpik London 2012.

Fatehah pula terkeluar awal apabila gagal muncul antara tiga pelumba teratas dalam acara saringan Keirin. Dia hanya menduduki tempat kelima dari enam pelumba.

Dalam perkembangan lain, Naim berkata pihaknya akan memohon kepada pemaju Velodrom Cheras untuk menangguhkan proses merobohkan velodrom itu sehingga bulan Jun tahun depan.

Katanya, Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur sudah diberikan notis untuk mengosongkan velodrom itu sebelum ini.

"Velodrom ini akan dipecahkan untuk dibangunkan. Saya juga dimaklumkan pemaju juga sudah membayar pampasan tanah dan sebagainya, tetapi malangnya velodrom di Nilai akan siap pada Julai depan.

"Kita masih mempunyai kejohanan pada Januari dan saya akan cuba merayu kepada pihak pemaju yang mengambil alih tanah ini untuk menangguhkan dalam enam bulan lagi untuk kita gunakan velodrom ini bagi latihan dan pertandingan sehingga Velodrom Nasional di Nilai siap," katanya.

Naim berkata antara alternatif lain yang akan diambil ialah menggunakan Velodrom Rakyat di Ipoh yang dalam proses pemulihan dan dijangka siap pada April.

"Saya dimaklumkan velodrom di Dungun, Terengganu dalam proses pembinaan jadi alternatif kita adalah melihat velodrom mana yang siap dulu.

"Setakat ini Velodrom Nasional di Nilai berjalan lancar cuma terlewat dua minggu kerana keadaan hujan lebat. Saya yakin dalam bulan Julai ini akan siap," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X