Ahad, 27 Disember 2015 | 9:29pm

Dua maut kereta langgar pokok


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan di Batu 12, Jalan Kuantan-Gambang, petang tadi. -Foto ihsan bomba

KUANTAN: Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta mereka naiki terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Batu 12, Jalan Kuantan-Gambang dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu mangsa, S Magenathan, 14 dan M Navin Kumar, 18 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Pemandu kenderaan, M Praveen Raj, 19, dan dua lagi penumpang, G Ravitharan, 18, dan M Parameswaran pula cedera dan semua mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan mereka dari arah Kuantan ke Gambang terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh dari tebing dan melanggar sebatang pokok.

"Akibat impak kuat pelanggaran, dua penumpang di bahagian belakang kereta maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera.

"Cuaca baik ketika kejadian dan ia berlaku di jalan lurus,sehala serta mempunyai dua lorong," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X