Ahad, 27 Disember 2015 | 4:01pm

Sikap sebarkan berita tak sahih susahkan masyarakat


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak

KOTA BELUD: Budaya menyebarkan berita atau 'viralism' yang belum diketahui kesahihannya khususnya menerusi laman sosial yang semakin meningkat kebelakangan ini, menimbulkan banyak masalah kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata bagi menangani isu itu, etika kewartawanan sepatutnya turut dipatuhi oleh wartawan atau pemilik media atas talian termasuk di Facebook bagi memastikan maklumat disampaikan tidak menyimpang daripada perkara sebenar.

"Kita kena berhati-hati menerima laporan yang viral menerusi media sosial...tidak perlu kelam kabut menerima laporan yang belum pasti kebenarannya atau jelas dilihat tidak logik.

"Berita atau maklumat yang diterima perlu dilihat daripada sumber berbeza sebelum disahkan kesahihannya. Jika berita itu didapati daripada pelbagai sumber tetapi maklumat yang sama, pasti ia sahih.

"Sekiranya diterima daripada pelbagai sumber tetapi ada pertentangan maklumat, kena berhati-hati. Sebagai pembaca, kita ada ada kuasa tentukan berita itu sahih atau tidak," katanya selepas melancarkan Program Kembali Ke Sekolah di pekarangan Majlis Daerah Kota Belud, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati menyebarkan sebarang maklumat atau berita.

Najib dipetik sebagai berkata, beliau melihat ramai menyebarkan berita mengenai kononnya berlaku kejadian letupan bom di Petaling Jaya, namun sebenarnya kejadian itu bukanlah seperti disebarkan.

Sehubungan itu, Salleh meminta rakyat berhati-hati dan tidak cepat percaya apabila membaca berita atau pandangan dalam media baharu.

"Ia kerana ada laporan tidak tepat sama sekali namun masalahnya dan amat menyedihkan apabila ada antara kita belum tahu kesahihannya tetapi sudah sebarkan maklumat itu. Apabila sudah disebarkan dan didapati tidak betul.... ia merugikan rakyat.

"Begitu juga berita disebarkan kononnya perayaan Krismas diharamkan di Brunei, sedangkan keadaan sebenarnya bukan begitu. Masyarakat Kristian di Brunei dibenarkan meraikan Krismas tanpa sekatan, apa yang tidak digalakkan ialah masyarakat Islam meraikannya dan perkara ini sudah berlaku sejak dulu di Brunei.

"Begitu juga kejadian kebakaran kereta di Petaling Jaya baru-baru ini yang kononnya disebabkan bom. Hakikatnya ia disebabkan masalah peribadi," katanya.

Berita Harian X