Ahad, 27 Disember 2015 | 11:47am
BEKAS wartawan Berita Harian (BH) dan bekas pengacara TV3, Allahyarham Aziz Desa ketika terlantar di Hospital Langkawi akibat masalah buah pinggang kronik dan penyakit kencing manis, Januari lalu. - Foto NSTP

Aziz Desa meninggal dunia

LANGKAWI: Bekas wartawan Berita Harian dan bekas pengacara televisyen popular, Aziz Desa, yang menghidap masalah buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 pagi ini.  

Aziz, 50, atau nama sebenar Abdul Aziz meninggal dunia di rumahnya di Taman Seri Dayang, Mukim Kuah, di sini. 

Isterinya, Raden Norazlina Raden Jumari, 50, ketika ditemui di rumahnya, berkata mereka sekeluarga baru pulang bercuti di Phuket, Thailand, pada jam 6 petang semalam.

Katanya, sebaik tiba di rumah arwah terus meminta untuk tidur di atas katil. 

"Arwah tidur dengan ditemani anak kami di ruang tamu, manakala saya di dalam bilik di bahagian belakang rumah. Saya sedar beliau sudah tidak bergerak dan badannya sejuk pada jam 10.30 pagi," katanya. 

Raden Norazlina berkata, jenazah Aziz akan disembahyangkan di Masjid Al-Hana Kuah dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayas di sini, yang juga kampung halaman Aziz pada jam 5 petang ini.

Sebelum ini, Aziz yang mengidap pelbagai penyakit menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.

Berita Harian X