Ahad, 27 Disember 2015 | 6:18am

Kaji keselamatan kawasan riadah elak tragedi berulang


TEMPAT kejadian lemas yang meragut lima nyawa di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. - FotoMohd Syafiq Ambak

Kejadian lemas di kawasan perkelahan kebelakangan ini nyata membimbangkan hingga mendapat perhatian kerajaan. Ia menyebabkan Kabinet sendiri mengeluarkan arahan kelmarin kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memastikan tiada lagi tragedi berlaku di lokasi berkenaan.

Paling memilukan tentunya insiden beberapa hari lalu membabitkan lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Ia kemudian disusuli insiden dua pelajar tahfiz yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu. Malah, beberapa hari sebelum dua kejadian berkenaan, dua remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui lemas di Pantai Desaru Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Kejadian lemas juga berlaku di tempat percutian popular.

Pada awal Disember, seorang kanak-kanak ditemui lemas di kolam renang di sebuah rumah peranginan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Dalam semua kes, pastinya punca kejadian berbeza. Sama ada mangsa gagal menyedari keadaan air yang mungkin terlalu deras, ketiadaan penjaga ketika kejadian, mahupun kegagalan usaha menyelamat. Sebahagian faktor penyumbang juga mungkin kerana waktu cuti panjang persekolahan hujung tahun. Pada waktu inilah ramai daripada kita suka membawa keluarga 'makan angin' termasuk berkelah atau berehat di lokasi yang sudah dirancang awal sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja mencari keseronokan yang tanpa disedari boleh membawa padah.

Pun begitu, jika diselidiki lebih luas lagi, kejadian lemas sebenarnya berlaku hampir sepanjang tahun ini. Pada April lalu, aktiviti riadah lapan sekawan, tiga perempuan dan lima lelaki bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika sedang berkelah di kawasan air terjun Kampung Jankar di Lundu, Sarawak.

Pada bulan Ogos, seorang budak lelaki berusia lima tahun ditemui mati lemas ketika mandi bersama keluarga di Air Terjun Serendah Hulu Selangor manakala pada bulan Jun lalu, kegembiraan lima sahabat mandi di Sungai Pahang berdekatan Kampung Paya Panjang, Mengkarak, bertukar duka apabila tiga daripada mereka mati lemas. Februari lalu pula, seorang remaja lemas selepas dihanyutkan arus ketika berenang sebelum ditemui di Pantai Kubang Golok, Kelantan.

Kita percaya, sejauh mana sistem pengawasan dan kesedaran orang ramai mengenai risiko kemalangan di lokasi perkelahan dan riadah adalah penting untuk meminimumkan tragedi berlaku, dibantu pemantauan dan garis panduan keselamatan pihak berkuasa. Ada kes berlaku disebabkan mangsa terlepas daripada pengawasan penjaga mereka untuk beberapa ketika saja. Mungkin faktor terpenting ialah perlunya semua orang menetapkan prosedur keselamatan semua anggota keluarga tidak kira di mana mereka berada ditambah dengan kerjasama orang lain yang hadir sama. Melakukan pemeriksaan terlebih dulu terhadap kawasan dikunjungi sebaik tiba untuk memastikan risiko keselamatan mungkin langkah terbaik. Lebih-lebih lagi tidak semua tempat perkelahan atau percutian mempunyai peralatan menyelamat atau pengawal pada setiap masa.

41 dibaca
Berita Harian X