Sabtu, 26 Disember 2015 | 2:17pm
KEADAAN kemalangan membabitkan bas ekspres dan lori di Kilometer 124 Batu 14 Jalan Jeli-Grik, awal pagi semalam. - Gambar ihsan http://terengganutimes.com/

Nahas Jeli: Polis rakam percakapan lebih 10 penumpang

JELI: Polis mengambil keterangan lebih 10 penumpang bas bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan bas ekspres dan lori di Kilometer 124 Batu 14 Jalan Jeli-Grik, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yusoff Jaafar, berkata beberapa individu lagi akan diambil keterangan termasuk pemandu lori berusia 48 tahun bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Ujian air kencing turut dilakukan terhadap pemandu kedua bas ekspres terbabit, namun negatif. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, bas dari Taiping, Perak, yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dikatakan memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lori muatan papan.

Akibat pergeseran itu, empat penumpang iaitu Hasiah Osman, 57 dan anaknya, Mohamad Amir Abdul Rahim, 16; Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19; dan Mohd Syafiq Azrol Azni, 25, maut.

Ujian air kencing terhadap pemandu bas berkenaan disahkan positif dan kini ditahan reman empat hari bermula semalam.

Berita Harian X