Jumaat, 25 Disember 2015 | 11:40pm
JENAZAH Nur Afiqah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, jam 9.45 malam tadi.

Nahas Jeli: Nur Afiqah Alimi selamat dikebumi

KUALA NERUS: Jenazah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Mengabang Telipot, di sini, jam 9.45 malam tadi.

Penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang itu adalah seorang daripada empat penumpang bas yang maut dalam kemalangan bas dengan lori di Kilometer 124 Batu 14, Jalan Jeli-Gerik, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Jenazah tiba di Kampung Pak Tuyu, di sini, kira-kira jam 8.05 malam dari Hospital Jeli, Kelantan.

Jenazah kemudiannya disembahyangkan di Surau Kampung Pak Tuyu, di sini, dengan disertai kira-kira 50 penduduk kampung dan saudara-mara.

Dalam kemalangan itu, bas yang dinaikinya bersama 30 penumpang dari Taiping, Perak menghala ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan papan lapis.

Akibat kejadian dari arah bertentangan itu, empat maut, manakala 26 lagi cedera.

Nur Afiqah menaiki bas itu bersama kakak, Nur Ain Nabilah Alimi, 20; adiknya, Nuraini Nasuha, 15 dan sepupunya, Ahmad Izzul Farhan Mohd Saidi, 15, yang bercuti di Kemunting, Taiping, Perak sejak Ahad lalu.

Berita Harian X