Jumaat, 25 Disember 2015 | 3:57pm

Tiga sempat selamatkan diri dalam kebakaran rumah

SEREMBAN: Tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri selepas terhidu bau asap apabila rumah teres mereka terbakar di Taman Jujur, Sikamat di sini, hari ini.

Kebakaran jam 11.00 pagi itu dipercayai bermula di tingkat atas sebelum memusnahkan sepenuhnya kediaman terbabit dan merebak ke dua rumah lain yang terletak di belakang rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.04 pagi dan dua jentera dengan kekuatan 15 anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

"Penghuni wanita berusia 20 tahun bersama dua kanak-kanak berusia empat dan enam tahun sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah sebaik terhidu bau asap.

"Kebakaran itu turut merebak ke kawasan lain namun kami sempat mengawal keadaan dan dua rumah yang berada di bahagian belakang terbakar sebanyak 20 peratus," katanya.

Berita Harian X