Jumaat, 25 Disember 2015 | 12:08am
LOKASI yang dipercayai kawasan lima sekeluarga mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, baru-baru ini. - Foto Syafiq Ambak
JAWATANKUASA Pengurusan Air Terjun Kionsom melarang pengunjung memasuki kawasan air terjun jika arus deras melanda terutama selepas hujan lebat. - Foto Lano Lan
KEADAAN papan tanda peringatan yang rosak di Air Terjun Belukar Bukit. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Air terjun lubuk maut: Sikap degil punca tragedi


KEDEGILAN orang ramai mematuhi arahan penutupan sesebuah air terjun di hutan lipur terutama pada musim tengkujuh menjadi punca berlaku kejadian malang sehingga mengorbankan nyawa.

Penolong Pengarah Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Pahang, Rosilan Said, berkata pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan kejadian buruk, tetapi ia tidak diendahkan pengunjung walaupun menyedari risiko dihadapi mereka.

"Mengambil contoh air terjun Hutan Lipur Chamang di Bentong, kita biasanya menutup kawasan itu daripada dikunjungi orang ramai ketika musim tengkujuh iaitu pada November sehingga Januari dan kita memaklumkannya menerusi laman web serta kain rentang.

"Bagaimanapun, ada yang degil dan tetap hendak mandi di situ. Pada 8 November lalu, ada kes mati lemas membabitkan pengunjung dari Shah Alam, Selangor. Kejadian mungkin boleh dielakkan jika arahan dipatuhi," katanya.

Rosilan berkata, pihaknya sudah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga, antaranya memasang papan tanda dan menempatkan pasukan pemerhati untuk bertindak jika berlaku sebarang kejadian.

"Tetapi pengunjung sengaja tidak mahu ikut. Sebenarnya air terjun di Hutan Lipur Chamang tidak bahaya tetapi ada pengunjung mandi di kawasan berbahaya walaupun ada dipasang riben merah untuk memberi amaran kepada mereka.


PAPAN tanda Air Terjun Belukar Bukit. - Foto Mohd Syafiq Ambak

ANGGOTA Unit Menyelamat Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong mengadakan latihan menyelamat mangsa lemas di Hutan Lipur Chamang. - Foto Mohd Rafi Mamat.

"Kita cuba sebaik mungkin menguruskan semua kawasan air terjun, tetapi kita tidak dibantu pengunjung yang bukan sahaja degil tetapi melakukan vandalisme seperti merosakkan kemudahan yang disediakan dan membuang sampah merata-rata," katanya.

Aspek keselamatan pengunjung juga menjadi keutamaan di

Air Terjun Kionsom, Inanam, di Kota Kinabalu, Sabah.

Demi keselesaan dan keselamatan pengunjung, pihak pengurusan di sini turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pengurusan, yang bukan saja melihat aspek kemudahan kawasan berkenaan, malah memantau pengunjung bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

Pengurusan air terjun berkenaan dikendalikan empat kampung berhampiran iaitu Kionsom, Kobuni, Poring-Poring dan Bambangan, menerusi penubuhan jawatankuasa dianggotai penduduk semua kampung terbabit.

Bagi memudahkan kawalan keselamatan dan pemantauan terhadap pengunjung, pihak pengurusan juga hanya menyediakan satu pintu masuk di hadapan kaunter bayaran.

Penjaga di pintu masuk air terjun berkenaan, Winica Shoumon, 51, berkata Jawatankuasa Pengurusan Pusat Peranginan Air Terjun Kionsom, tidak membenarkan pengunjung berenang atau mandi di kawasan air terjun jika arus deras dan membahayakan keselamatan.

"Kalau musim hujan terutama hujung tahun seperti sekarang, kita akan pastikan pengunjung tidak memasuki kawasan air terjun jika air sungai melimpah dan deras kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Kami sentiasa memantau dan memastikan keadaan sungai sekitar air terjun benar-benar sesuai untuk kegiatan renang atau berkelah demi keselamatan pengunjung," katanya.


ANTARA lokasi berkelah di Air Terjun Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan

PENGUNJUNG Air Terjun Kionsom sentiasa diingatkan supaya berwaspada dan berhati-hati ketika berkelah bagi mengelak kemalangan. - Foto Lano Lan

Air Terjun Kionsom adalah satu-satunya kawasan perkelahan air terjun di pinggir Kota Kinabalu dan menjadi tumpuan warga bandar raya ini pada hari cuti.

Winica berkata, pihaknya juga sentiasa mengingatkan pengunjung supaya berhati-hati dan memantau pergerakan ahli keluarga atau rakan masing-masing sepanjang berada di kawasan air terjun selain mematuhi peraturan ditetapkan.

"Kami tidak mahu berlaku kemalangan terutama menyebabkan kematian akibat lemas. Jadi, pengunjung dan pengurusan perlu sama ingat mengingatkan supaya perkara itu tidak terjadi," katanya.

Beliau berkata, kemalangan pengunjung hingga menyebabkan kematian pernah berlaku beberapa tahun lalu, namun kebanyakannya disebabkan kelalaian dan bukan faktor arus deras seperti menimpa lima beranak di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Pusat Peranginan Air Terjun Kionsom terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Inanam dan kira-kira 25 kilometer dari bandar raya ini dengan tarikan utamanya ialah air terjun bertingkat dilengkapi kolam takungan semula jadi di setiap tingkat.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian mati lemas di Malaysia tidak dilihat sebagai isu serius walaupun berlaku kira-kira 700 kes kematian setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, cadangannya supaya Majlis Keselamatan Air Negara (NWSC) ditubuhkan bagi menangani kejadian mati lemas di negara ini perlu diberi perhatian serius.

Setakat ini, katanya, tidak ada satu agensi atau pihak berkuasa khusus diwujudkan bagi menangani isu terbabit.

"Berbeza dengan kemalangan jalan raya, ada banyak jabatan dan agensi kerajaan diberi kuasa menanganinya seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Sehubungan itu, saya berharap kerajaan dapat menimbangkan cadangan untuk mewujudkan MKAN bagi menangani kejadian lemas ini daripada terus berlaku," katanya.

Lam Thye berkata, beliau sudah memanjangkan cadangan penubuhan majlis itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi pesanan mesej ringkas, kelmarin.

Katanya, Ahmad Zahid membalas dengan berkata akan menyokong cadangan itu jika ia dibawa ke peringkat Kabinet.

"NWSC jika ditubuhkan, dicadang melaksanakan program jangka pendek dan panjang bagi menangani kejadian mati lemas, antaranya mempromosikan keselamatan di dalam air dan meningkatkan kesedaran orang ramai.

"Selain itu, menggalakkan orang muda mempelajari kemahiran kelangsungan hidup seperti berenang, memastikan pihak berkuasa memasang papan tanda amaran di kawasan berisiko lemas dan melantik pengawal pantai atau petugas keselamatan di pantai yang kerap dikunjungi," katanya.

Lam Thye berkata, menurut laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 372,000 orang lemas dalam setahun di seluruh dunia dengan lebih 90 peratus daripada kejadian lemas berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, mengikut laporan itu juga, kejadian lemas adalah perkara serius yang berlaku di semua negara tetapi ia sering diabaikan dan dilihat sebagai tidak penting.

160 dibaca
Berita Harian X