Jumaat, 25 Disember 2015 | 12:02am

Rakan suka layari laman sesawang lucah

SAYA berusia 16 tahun, mempunyai seorang rakan yang suka melayari laman sesawang lucah.Pada mulanya, saya melayani kerenahnya yang suka berkongsi cerita apa yang dilihatnya tetapi sejak kebelakangan ini, saya berasa tidak senang dengan tabiat buruk itu. Saya cuba menasihatkan rakan tetapi dia mengatakan saya berpura-pura menjadi 'budak baik'.

Ameer Danial

Shah Alam

Agama Islam membuat larangan keras melihat aurat dan kemaluan orang lain. Nabi Muhammad SAW meminta kita menjauhkan diri daripada maksiat seperti berzina, menonton gambar lucah dan melakukan perbuatan kurang bermoral.

Menonton pornografi atau gambar lucah adalah haram dan memberikan kesan negatif, antaranya ia boleh mengganggu kapasiti ingatan dan menyebabkan kita sukar memberi perhatian terhadap keadaan sekeliling serta melemahkan kebolehan membuat keputusan dengan baik.

Kesan daripada ketagihan menonton gambar lucah juga mampu menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran. Ia juga mampu mempengaruhi kehidupan semula jadi kanak-kanak dan remaja di dalam dan di luar bilik darjah.

Ibu bapa perlu mengambil tahu kesan kelucahan atau ketagih gambar porno terhadap anak mereka.

Anda juga boleh membantu rakan berkenaan berasaskan kepada:

* Berniat untuk membantu diri anda dan dirinya supaya terhindar daripada dosa besar.

* Niat semata-mata mendapat keredaan Allah jika anda dicaci, dimarahi atau dihina.

* Jika rakan anda itu sedar dan berubah, maka hendaklah anda bersyukur.

* Jadikan diri anda lebih besar daripada setiap masalah.

* Fokus kepada misi hidup anda sebagai seorang pelajar. Laksanakan tanggungjawab sebagai anak yang soleh dan berfikiran terbuka.

Sebagai rakan, anda juga bertanggungjawab untuk menasihatinya mengenai perkara negatif yang dilakukannya itu.

Jika masalah masih berlarutan, mungkin boleh merujuk kepada guru kaunseling supaya tabiat itu dapat dibendung.

25 dibaca
Berita Harian X