Khamis, 24 Disember 2015 | 8:26pm

Mayat mangsa ketiga tragedi bot karam Belaga ditemui


ANGGOTA penyelamat mengangkat mayat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Nur Amirsha, yang ditemui terapung di Sungai Rajang, Belaga.

BINTULU: Pasukan penyelamat menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang juga mangsa ketiga tragedi bot panjang di Sungai Rajang, Belaga.

Identiti mangsa yang disahkan sebagai Nur Amisha ditemui terapung kira-kira jam 5 petang tadi, enam kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua, Adriana Rosnah, 12, yang ditemui pada jam 2 petang.

Dengan penemuan mangsa terbaharu itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kini bertumpu kepada usaha mencari mangsa terakhir, Sumitasen Thomas, 15, yang masih lagi hilang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufiyan Borhan, ketika dihubungi memaklumkan operasi SAR ditangguhkan kira-kira jam 6 petang tadi berikutan cuaca gelap, selain keadaan arus deras sungai yang boleh membahayakan nyawa anggota penyelamat.

Katanya, gerakan mencari akan disambung semula jam 7 pagi esok dengan bertumpu di kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga dan Punan Bah, yang terletak di bahagian hilir sungai berkenaan.

Berita Harian X