Khamis, 24 Disember 2015 | 5:12pm

Pelajar Nigeria patah kaki jatuh apartmen

PUTRAJAYA: Seorang pelajar lelaki warga Nigeria patah kedua-dua kakinya selepas terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat lima sebuah apartmen di Cyberjaya di sini, ketika cuba memasuki rumah rakannya menerusi koridor.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi, mangsa, Mohammad Garba, berusia lingkungan 30-an turut cedera di pinggang dan luka pada dagu.

Jurucakap bomba berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 2 petang sebelum menyelamatkan mangsa di tingkat lima apartmen itu.

"Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian mangsa pergi ke rumah rakannya yang tinggal bersebelahan dengan rumahnya di tingkat 12 apartmen itu dan mengetuk pintu namun tidak disedari rakannya.

"Mangsa kemudian cuba memasuki rumah rakannya dengan melompat menerusi koridor namun terjatuh ke tingkat lima menyebabkannya patah kedua-dua kaki," katanya.

Anggota bomba berjaya menurunkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X