Khamis, 24 Disember 2015 | 12:21am

Mangsa bot karam menjerit minta tolong - Saksi


MANGSA tragedi bot panjang karam di Sungai Rajang, Balaga ditemui 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

BINTULU: Empat mangsa tragedi bot panjang karam di Sungai Rajang, Belaga, di sini malam kelmarin sempat menjerit minta tolong sebelum dihanyutkan arus deras.

Penduduk Rumah Panjang Long Buyun, Linus Laing, 42, berkata beliau mendengar dengan jelas jeritan itu kerana kedudukan rumah panjang berkenaan hanya 100 meter dari lokasi kejadian.

"Saya sedang berbual bersama penghuni lain sebelum kami terdengar bunyi bising, termasuk jeritan minta tolong dari arah sungai. Kami tergamam sebelum bergegas menaiki perahu mencari dari mana jeritan itu datang.

"Hampir 10 minit kami dengar jeritan itu, termasuk suara kanak-kanak menangis sebelum senyap," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Bersama beberapa rakan baiknya, mereka meneruskan pencarian sehingga terserempak lima mangsa terdampar di kawasan tebing sungai dalam keadaan lemah.

Katanya, kelima-lima mangsa, termasuk jurumudi bot kemudian dibawa ke rumah panjang untuk berehat, manakala beliau dan rakan lain terus mencari mangsa yang hilang dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Belaga.

"Ketika itu, hanya penduduk kampung ada di lokasi. Kami cari mangsa sehingga jam 2 pagi," katanya yang baru dua hari tiba di kampung itu untuk sambutan Krismas.

Katanya, jarak lokasi kejadian dengan tebing tidak jauh, hanya lingkungan 20 meter dan sekadar 15 minit melalui jalan sungai untuk sampai ke rumah panjang semua mangsa di bahagian hilir sungai berkenaan.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, sebuah bot panjang membawa lapan penumpang dan seorang jurumudi terbalik sebelum karam ketika dalam perjalanan pulang ke Rumah Panjang Tanjung dari Pekan Belaga.

Mangsa membawa bersama pelbagai barangan untuk sambutan Krismas, selain keperluan persekolahan.

Lima terselamat, manakala empat lagi hilang sebelum mayat seorang daripada mangsa ditemui terapung berhampiran kawasan tebing sungai kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sofiyan Borhan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa yang masih hilang, termasuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun akan disambung jam 7 pagi nanti.

Katanya, operasi bertumpu kepada kaedah pencarian di permukaan air di sepanjang sungai berkenaan.

Berita Harian X