Rabu, 23 Disember 2015 | 2:01pm

Larangan hisap vape mulai tahun hadapan

BUTTERWORTH: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan larangan menghisap vape atau rokok elektronik di kawasan larangan merokok di seluruh negara mulai tahun hadapan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata larangan itu akan dikuatkuasakan selepas pihaknya membuat penambahbaikan dalam Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Beliau berkata, peraturan itu nanti akan menjadikan larangan menghisap vape adalah sama seperti larangan menghisap rokok tembakau yang mana perlu dipatuhi. 

"Dalam akta ini di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau menyebut perkataan 'asap' yang mana segala berbentuk asap seperti rokok dan cerut tidak boleh dihisap di kawasan larangan merokok. 

"Jadi perkara sama juga bakal dilaksanakan kepada penghisap vape yang mana di bawah peraturan yang sama kita akan menambah perkataan 'wap' bagi mengawal vape di hisap di kawasan terbuka," katanya pada sidang media di Hospital Seberang Jaya (HSH), tengah hari tadi.

Katanya, Kabinet semalam, memutuskan penjualan dan menghisap vape tidak haram, namun tetap mengambil langkah kawalan melalui akta dan peraturan memandangkan ia membabitkan isu kesihatan.

229 dibaca
Berita Harian X