Rabu, 23 Disember 2015 | 9:34am

Mourinho belum terima tawaran United

JOSE Mourinho. - Foto REUTERS

LONDON: Ejen Jose Mourinho menafikan sudah ada perjanjian untuk pengendali dari Portugal itu menggantikan Louis van Gaal sebagai pengurus Manchester United.

Mourinho yang dipecat Chelsea, minggu lalu dikaitkan dengan jawatan itu di Old Trafford selepas The Red Devils terkeluar daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selain tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, ejen Mourinho, Jorge Mendes menegaskan tiada sebarang tawaran rasmi daripada United bagi mendapatkan khidmat pengendali itu.

"Tiada apa-apa," kata Mendes ketika ditanya mengenai laporan mengatakan bekas pengurus Chelsea itu sudah bersetuju untuk mengambil alih tugas di Old Trafford.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi buat masa ini tiada sebarang perjanjian. Malah, tawaran rasmi pun tiada, semua laporan adalah tidak benar".

Di sebalik kenyataan Mendes itu, sumber terdekat memaklumkan Mourinho sememangnya berminat untuk membimbing United dan wakil kedua-dua pihak sudah pun mengadakan perbincangan.

Laungan nama Mourinho dapat didengari di Old Trafford ketika United tewas 1-2 kepada Norwich City, Sabtu lalu. - Agensi

Berita Harian X