Selasa, 22 Disember 2015 | 11:48pm

Jenazah penuntut perubatan Universiti Cairo selamat dikebumi


BAPA, Roselan A, Rahman, 56 (dua dari kanan) menyentuh keranda anaknya, pelajar Perubatan Tahun 6 Universiti Cairo, Nur Izzati Izyan Roselan, 23 yang meninggal dunia akibat menghidapi SLE selamat, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan turut di saksikan sambil hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan). - Foto Aswadi Alias

MARANG: Jenazah Nur Izzaty Izyan Roselan, penuntut perubatan di Universiti Cairo, Mesir, yang meninggal Jumaat lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythemitosus (SLE), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini, malam ini.   

Terdahulu, jenazah Allahyarham berusia 23 tahun tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, jam 9.20 malam dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS).   

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut bersama keluarga Allahyarham, termasuk bapa, Roselan A Rahman, 56 dan adiknya, Nur Syahirah, 17, menunggu ketibaan jenazah di LTSM.   

Jenazah kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Tasek untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Nur Izzaty Izyan, disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 malam (waktu Malaysia) Jumaat lalu, selepas dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Kasr El Aini. 

 Allahyarham yang juga anak kedua daripada empat beradik sebelum itu ditemui terjatuh dalam bilik air oleh rakan serumahnya, sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Roselan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang memastikan kelancaran urusan menghantar pulang jenazah anaknya ke Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan mengadakan tahlil buat Allahyarham sebagai tanda ingatan dan penghargaan terhadap bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu.

Berita Harian X