Selasa, 22 Disember 2015 | 7:06pm

Pendaftaran pengundi automatik sukar dilaksana - SPR


PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Sistem pendaftaran pengundi secara automatik sukar dilaksana di Malaysia, malah mungkin menjejaskan proses pengundian seperti semakan, tuntutan dan bantahan selain merencatkan jumlah yang keluar mengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pelaksanaan cadangan mendaftar pengundi secara automatik warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan ke atas itu tidak semudah yang disangkakan kerana perlu mematuhi dasar perundangan dan amalan demokrasi negara.

Katanya, syor yang ke-13 oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya itu sudah dikaji oleh SPR dan mendapati ia membawa kesan yang besar pada keseluruhan sistem pilihan raya negara.

"Antara fungsi utama SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang layak, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, untuk didaftarkan sebagai pengundi yang sah.

"Dalam menegakkan demokrasi di negara ini, tiada paksaan kepada rakyat atau pengundi yang layak untuk mendaftar secara automatik kerana Malaysia mengamalkan dasar kebebasan, termasuk hak untuk mendaftar sebagai pengundi.

"Kesan pelaksanaan cadangan ini perlu dikaji secara mendalam dan tidak hanya membabitkan pindaan terhadap Akta dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya sahaja," katanya.

Katanya, soal kelayakan sebagai pengundi adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang mana Perkara 119 menggariskan adalah menjadi hak kepada warganegara untuk memilih sama ada mahu mendaftar atau tidak sebagai pengundi.

Sehubungan itu, katanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan, yang memerlukan sokongan undi dua pertiga di Parlimen, perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pindaan dilakukan terhadap akta dan peraturan lain yang berkaitan.

Abdul Aziz berkata, sistem pendaftaran pengundi yang diguna pakai oleh SPR adalah berdasarkan alamat yang tertera pada kad pengenalan individu dan disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tetapi ramai warganegara tidak bermastautin di alamat yang tercatat pada kad pengenalan masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan akan timbul kesulitan kepada individu yang tidak menukar atau mengemaskini alamat dalam kad pengenalan apabila berpindah ke tempat lain, malah mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengundi pada hari mengundi sekiranya pusat mengundi terletak jauh dari kediaman sebenar.

Berita Harian X