Selasa, 22 Disember 2015 | 4:46pm

Pasangan warga emas teruja dapat rumah baharu

LANGKAWI: Tiada yang lebih menggembirakan bagi pasangan warga emas di Kampung Penarak di sini, apabila hasrat memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai, selepas mendapat rumah baharu melalui Program Bantuan Rumah (PBR).

Pasangan, Khamis Long, 75 dan isteri, Fatimah Taib, 66, hari ini menerima rumah baharu itu yang dibina dengan kos RM40,000 melalui peruntukan disediakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Khamis yang juga bekas peniaga sayur-sayuran secara kecil-kecil, mengakui rumah baharu itu mampu meringankan beban dihadapi mereka untuk meneruskan sisa hidup selepas lebih 30 tahun hidup menyewa.

"Sekarang saya sudah tidak berniaga, jadi tiada pendapatan tetap untuk menabung apatah lagi untuk membina rumah dengan duit sendiri sudah tentu tidak mampu.

"Untuk perbelanjaan harian dan makan minum pun kami berdua terpaksa mengharapkan pemberian anak yang bekerja sendiri yang juga hidup ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'," katanya ketika ditemui.

Khamis menerima bantuan rumah selepas mendaftar melalui program e-Kasih di Pejabat Daerah Langkawi dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Penghulu Mukim Kuah, Abdul Malik Abdul Aziz.

Majlis penyerahan replika kunci kediaman baharu kepada pasangan itu disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat.

Isahak berkata, sebanyak RM405,000 diterima daripada ICU yang digunakan untuk melaksanakan PBR membabitkan lima mukim iaitu Kuah, Kedawang, Ulu Melaka, Ayer Hangat, Padang Masirat dan Bohor di Langkawi.

"Sembilan rumah kita bina baharu dan semuanya sudah siap dan diserahkan kepada pemilik terdiri daripada golongan miskin tegar yang mendaftar dengan e-Kasih, manakala 11 lagi membabitkan kerja pembaikan," katanya.

Berita Harian X