Selasa, 22 Disember 2015 | 4:35pm

Adamas buat ujian doping atlet sama rata

KUALA LUMPUR: Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) menafikan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa mereka 'memilih bulu' dalam menjalankan ujian doping secara rambang dalam kalangan atlet elit negara yang terpilih.

Sebaliknya Ketua Unit Adamas, Institut Sukan Negara (ISN), Nishel Kumar berkata mereka akan menjalankan ujian doping ke atas atlet berprofil tinggi yang dikatakan mempunyai potensi mengambil bahan terlarang sebagai 'jalan pintas' untuk meraih kejayaan.

"Untuk mengatakan bahawa Adamas memilih atlet-atlet tertentu bagi menjalankan ujian doping adalah tidak betul.

"Sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini, kita sentiasa mengambil perhatian serius terhadap kesemua jenis sukan di negara ini," katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun mengesahkan pihaknya memberikan perhatian khusus terhadap empat sukan iaitu bina badan, angkat berat, olahraga dan berbasikal memandangkan atlet daripada sukan berkenaan berisiko tinggi mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi masing-masing

.

Pada masa yang sama, Nishel turut mendedahkan majoriti atlet di negara ini tidak merujuk terlebih dahulu kepada ISN sebelum mengambil ubat tambahan sebagaimana yang berlaku dalam kes dua atlet elit negara iaitu Datuk Lee Chong Wei dari sukan badminton dan jaguh bina badan negara, Sazali Samad.

Sehubungan itu, Nishel berkata ISN akan memperhebatkan ujian doping ke atas atlet berprofil tinggi bermula tahun depan bagi memastikan mereka tidak menggunakan bahan terlarang sebelum menyertai mana-mana kejohanan terutamanya di peringkat antarabangsa. - BERNAMA

Berita Harian X