Selasa, 22 Disember 2015 | 11:56am

Editor berdepan hukuman mati cetus 'Arab spring'

KETUA editor al-Tayyar, Osman Merghani (kiri) bercakap pada sidang media bersama peguamnya Nabil Adeeb. - Foto ST

KHARTOUM: Dua editor terkenal Sudan berdepan hukuman mati kerana mereka dituduh 'menghasut kebangkitan Arab' dan memperkenalkan dasar editorial antikerajaan di akhbar masing-masing.

Osman Marghani dan Ahmed Yousef El Tay ditangkap oleh unit perisikan pada Khamis lalu. Mereka berdepan hukuman minggu ini.

Marghani, editor akhbar El Tayar, berkata penerbitannya dijadikan kambing hitam bagi kritikan meluas terhadap kerajaan.

"Kami ditangkap pegawai keselamatan dan dibawa dengan kereta dari pejabat kami dan mereka menuduh kami menghasut rakyat menentang kerajaan.

"Saya rasa presiden amat marah dengan liputan media kami mengenai bajet tahun depan dan kritikan terhadap Menteri Kewangan. Jadi, akhbar kami cuma dijadikan sebagai kambing hitam," katanya.

Mereka dituduh menyalah guna kedudukan sebagai wartawan, menerbitkan berita palsu dan merendahkan sistem Perlembagaan, jenayah yang boleh dihukum mati di Sudan. - Agensi

Berita Harian X