Selasa, 22 Disember 2015 | 11:41am

Ahli ANGKASA perlu manfaat piawaian halal negara


PRESIDEN ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdulah. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUANTAN: Piawaian halal negara yang diiktiraf di seluruh dunia dan diakui terbaik di rantau ASEAN, perlu dimanfaatkan koperasi yang bernaung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fatah Abdullah, berkata pengiktirafan itu boleh dijadikan modal untuk mengkomersialkan produk makanan halal dengan lebih meluas ke luar negara.

"Ini adalah peluang yang perlu direbut semua koperasi dalam meningkatkan pendapatan ahli mereka.

"Pasaran untuk produk halal luas dan mampu menyumbang jutaan ringgit setiap tahun kepada koperasi.

"Selain menceburi sektor halal... koperasi juga perlu berani keluar daripada lingkungan perniagaan tradisi dan menyertai sektor pelaburan berimpak tinggi, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Koperasi Baharu Negeri Pahang, di sini, malam semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai bidang berimpak tinggi, Abdul Fattah berkata, ahli lembaga koperasi perlu memberi tumpuan dalam bidang yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada ahli seperti bidang hartanah.

"Bidang hartanah ini penting kerana masih ramai ahli koperasi yang tidak memiliki kediaman sendiri.

"ANGKASA menggalakkan koperasi menceburi bidang ini dengan membeli tanah dan membina kediaman mampu milik untuk ditawarkan kepada ahli.

"Kita memiliki dua projek pembinaan yang sedang berjalan di Alor Gajah, Melaka dan Pengerang, Johor. Kita juga mempunyai perancangan memperluaskan pelaburan dalam sektor hartanah ini di negeri lain dalam masa terdekat, " katanya.

Berita Harian X