Selasa, 22 Disember 2015 | 8:07am

Arsenal hampiri pendahulu liga

PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud. - Foto AFP

LONDON: Harapan memburu kejuaraan kembali menyala buat Arsenal selepas menewaskan Manchester City 2-1 di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Theo Walcott meletakkan Arsenal di depan dengan rembatan leret dari hujung kotak penalti pada minit ke-33, dan Olivier Giroud menggandakan kedudukan sejurus sebelum rehat.

Yaya Toure merapatkan juara lapan minit sebelum tamat tetapi City gagal mencari gol penyamaan.

Arsenal kini di tangga kedua dengan 36 mata, dua di belakang pendahulu Leicester yang mengumpul 38 mata, manakala City ketiga dengan 32 mata.

"Bagi kami ia adalah perlawanan yang penting," kata pengendali Arsenal Arsene Wenger. "Masih terlalu awal untuk mengatakan kami akan memenangi liga, tetapi ia mengukuhkan kepercayaan kami.

"Anda berhak untuk memenangi perlawanan ini dan ia penting untuk anda sedar bahawa anda perlu berjuang pada setiap perlawanan."

Satu-satunya berita buruk buat peminat Gunners ialah Alexis Sanchez yang sepatutnya dimasukkan sebagai pemain simpanan ketika menentang City, kini dikatakan hanya akan kembali pada 10 Januari.

Penyerang itu terpaksa berehat akibat kecederaan otot paha yang dialaminya sejak 29 Oktober lalu. - AP

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris

15 Jamie Vardy (Leicester City)

13 Romelu Lukaku (Everton) Riyad Mahrez (Leicester City)

12 Odion Ighalo (Watford)

10 Olivier Giroud (Arsenal)

9 Harry Kane (Tottenham Hotspur)

7 Sergio Aguero (Manchester City) Georginio Wijnaldum (Newcastle United)

6 Alexis Sanchez (Arsenal) Ross Barkley (Everton) Graziano Pelle (Southampton) Andre Ayew (Swansea City)

5 Callum Wilson (AFC Bournemouth) Yohan Cabaye (Crystal Palace) Arouna Kone (Everton) Philippe Coutinho (Liverpool) Marko Arnautovic (Stoke City) Bafetimbi Gomis (Swansea City) Troy Deeney (Watford) Dimitri Payet (West Ham United)

Berita Harian X