Selasa, 22 Disember 2015 | 12:04am
ADIRA Suhaimi bersama Datin Seri Red.
NAIB Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Adira Suhaimi. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Adira mengaku bermadu



PENYANYI Adira Suhaimi, 25, mengakui sudah bergelar isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan Abu, 37, selepas melangsungkan pernikahan di Songkhla, Thailand, tiga minggu lalu.

Walaupun tidak sampai sebulan berkenalan, selain hanya berjumpa dua kali sepanjang tempoh itu, beliau nekad menerima lamaran selepas melihat keikhlasan dan kesungguhan ahli perniagaan itu.

"Kami mula kenal atas urusan perniagaan. Itu pun baharu dua kali bertemu. Ketika itu, saya tidak tahu statusnya, malah hanya memanggilnya dengan gelaran 'bro' kerana dia sangat mesra, seperti kawan yang sudah lama kenal.

"Saya juga tidak sangka dia mahu memperisterikan saya selepas pertemuan kedua. Sebelumnya, dia tidak berahsia mengenai isteri dan keluarga. Sifat terbuka ini yang membuatkan saya percaya dia ikhlas.

"Malah, sebagai isteri kedua, saya sedar kedudukan dan enggan tamak. Suami boleh meluangkan lebih banyak masa bersama isteri pertama kerana mereka mempunyai anak-anak yang memerlukan perhatian," katanya.


GAMBAR Adira Suhaimi dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu di laman Instagram Official HLive. - Foto ihsan Instagram Official HLive

Adira berkata, keputusan bernikah dan menyempurnakannya di Songkhla bukan tergesa-gesa, sebaliknya mengambil kira pandangan keluarga dan lebih penting, mendapat restu daripada isteri pertama yang hanya mahu dikenali sebagai Datin Seri Red.

"Kami memilih Songkhla bukan disebabkan mahu merahsiakan perkahwinan, sebaliknya ia dipersetujui oleh semua pihak, termasuk madu saya. Ia juga kerana mahu menyegerakan urusan pernikahan bagi mengelakkan fitnah.

"Pernikahan kami kini, sudah disahkan di sini selepas menyerahkan dokumen pernikahan dan membayar denda kepada pihak berkaitan. Keluarga terdekat, termasuk kakak saya hadir pada majlis pernikahan itu.

"Awalnya, saya memilih untuk mendiamkan diri demi menjaga hati isteri pertama dan anak-anak. Walaupun restu sudah diberikan, saya harus mendahulukan perasaannya (madu)," katanya.

Kata Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, lamaran Adnan hadir tepat pada masanya di saat dia memerlukan seseorang yang boleh membimbingnya selain menjadi pelindung.


ADIRA Suhaimi dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu.

Sementara itu, katanya, majlis resepsi bakal menyusul pada tahun hadapan di Kundasang, Sabah dan Kuala Lumpur, namun akan diadakan secara sederhana.

Terdahulu, desas-desus mengenai pernikahan penyanyi kelahiran Sabah itu menjadi perbualan selepas gambar yang dimuat naik oleh wanita yang mengaku sebagai madunya itu tersebar di sosial media.

Sebelum ini, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi bertunang dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin pada Disember 2014 sebelum ikatan terlerai empat bulan kemudian.

Berita Harian X