Isnin, 21 Disember 2015 | 8:16pm

Bekas kakitangan KEMAS terima elaun


EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi, Teknologi Hijau Dan Inovasi, Datuk Wira Md Yunos Husin (tiga dari kiri) dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hassan Mohd Amin (dua dari kiri) melawat pesakit yang juga pesara KEMAS, Suderlan Sarbini, 86, sambil diperhatikan isteri, Marmah Giran, 79, (kiri) ketika majlis penyampaian bantuan sara hidup kepada pesara KEMAS di Kampung Seri Mawar, Ayer Molek. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Seramai 2,942 bekas kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan tamat perkhidmatan kontrak pada usia 55 tahun menerima bantuan elaun sara hidup membabitkan peruntukan berjumlah RM11 juta.

Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hassan Mohd Amin berkata, bantuan sara hidup berjumlah RM300 setiap seorang yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu itu dibayar menerusi dua kaedah, sama ada terus kepada akaun bank penerima atau secara tunai mengikut kuota penerima yang ditetapkan.

Katanya, bantuan yang diberikan bukan secara one-off, tetapi sara diri yang menggunakan hampir keseluruhan peruntukan dengan baki antara lima ke tujuh peratus masih belum diberikan kepada mereka yang tidak dapat dikesan.

"Kita masih mencari bekas kakitangan yang masih belum dapat dikesan, terutama di Sabah dan Sarawak. Perkara ini masih dibincangkan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan dari segi kriteria dan tatacara bayaran.

"Setakat ini kita minta kerjasama Persatuan Bekas Anggota KEMAS untuk bantu mengenal pasti yang masih belum menerima (elaun) untuk diberi hak kepada mereka. Mungkin ada (bekas kakitangan) yang belum terima," katanya ketika melawat seorang bekas kakitangan kontrak, Suderlan Sarbini, 86, yang kini terlantar sakit akibat penyakit strok di kediamannya di Kampung Seri Mawar, Ayer Molek di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Wira Md Yunos Husin dan Presiden Persatuan Bekas Anggota KEMAS, Datuk Melati Ali.

11 dibaca
Berita Harian X