Isnin, 21 Disember 2015 | 7:58pm

Air Terjun Belukar Bukit akan dinaik taraf - MB


HULU TERENGGANU 21 DECEMBER 2015. (KT160E) Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (Tengah) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains dan Teknologi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib (Kanan) ketika melawat kawasan rekreasi Air Terjun Belukar Bukit. NSTP/Rozainah Zakaria

KUALA BERANG: Air Terjun Belukar Bukit, di sini, yang meragut nyawa lima sekeluarga pagi kelmarin, akan dinaik taraf dengan aspek keselamatan bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata keindahan semulajadi air terjun itu membuatkan ia menjadi satu lokasi tarikan pelancongan, sekali gus tidak mewajarkan ia ditutup terus daripada kunjungan awam.

Sebaliknya beliau berkata, Pejabat Daerah Hulu Terengganu (PDHT) dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) sudah diarah bekerjasama mencari kaedah dan formula sesuai untuk menyediakan aspek keselamatan di situ, termasuk bantuan kecemasan segera berikutan lokasinya yang jauh dari bandar.

"Tempat ini memang berpotensi untuk dinaiktaraf sebagai pusat pelancongan, tetapi banyak aspek yang perlu kita ambil perhatian terutama aspek keselamatan.

"PDHT dan MDHT akan mengenal pasti formula sesuai bagi menyediakan aspek keselamatan kerana kita mahu pengunjung mendapat jaminan keselamatan.

"Malah, kita juga mahu pihak berkuasa ini sediakan pasukan keselamatan kerana sekiranya berlaku apa-apa, bantuan kecemasan dapat diberikan segera sementara menunggu bantuan dari bandar kerana lokasi ini jauh ke dalam," katanya selepas melawat lokasi tragedi lima sekeluarga di Air Terjun Belukar Bukit di sini, petang ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga mempertimbangkan sama ada penyelenggaraan dan pengendalian kawasan rekreasi itu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak swasta untuk dimajukan.

"Kita akan kenal pasti kawasan yang selamat untuk pengunjung mandi dan letakkan sebanyak mungkin tanda amaran supaya pengunjung berwaspada.

"Susulan tragedi Sabtu lalu, kita kena beri keyakinan kepada pelancong luar bahawa bahawa Terengganu adalah lokasi pelancongan yang bukan saja menarik tetapi juga selamat untuk mereka," katanya.

Mengenai isu pertikaian siapa yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan rekreasi itu yang terbiar dan terabai sehingga banyak papan tanda amaran rosak akibat perbuatan vandalisme, Ahmad Razif mengesahkan ia di bawah tanggungjawab MDHT.

Dalam kejadian jam 11 pagi Sabtu lalu, Ketua Imam Surau Al-Furqan Bandar Puncak Alam, Selangor, Mohd Halim Samian, 44, bersama isteri dan tiga anaknya ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, di sini.

22 dibaca
Berita Harian X