Isnin, 21 Disember 2015 | 6:39pm

Demi rumah tangga, Adam Shah elak golongan batu api


Adam Shah (kiri) dan isteri, Fatin Afeefa.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Shah, 33, mengakui wujud salah faham antara beliau dan isterinya, Fatin Afeefa, gara-gara kehadiran orang ketiga.

Pelakon yang dikenali menerusi filem Juvana itu juga tidak menyalahkan isterinya apabila beliau meluahkan perasaannya di laman sosial, baru-baru ini, kerana memahami situasi dialami oleh seseorang wanita apabila rumah tangga diganggu.

"Saya mengakui kesilapan melayan dan berbalas mesej di Instagram. Ia menjadi pengajaran untuk saya juga. Allah menguji pada saat saya tersasar dari landasan. Apa pun saya tetap bersyukur kerana isteri menegur dari awal. Sebenarnya saya menolak untuk berjumpa dengan cara baik.

"Saya tidak salahkan isteri saya sebab memang menjadi haknya untuk marah atas apa yang berlaku. Isteri mana yang tak marah kalau rumah tangga diganggu? Semua orang ada sifat cemburu, begitu juga kami berdua. Apatah lagi kami baru saja mendapat cahaya mata, Jun lalu," katanya kepada BH Online.

Menurut Adam lagi, salah faham timbul kerana beliau tidak berkesempatan untuk menjelaskan perkara sebenar kepada isterinya yang juga seorang pelakon itu.

"Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana dirinya sedang marah ketika itu.

"Biarpun dihentam oleh peminat isteri, namun saya memilih untuk tidak melenting kerana mengakui memang salah saya dan enggan menuding jari kepada orang lain. Saya juga meminta supaya dijauhi daripada pihak yang bersifat batu api kerana tidak mahu benda kecil menjadi besar," katanya.

Adam seterusnya memohon agar semua pihak mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan beliau sekeluarga. Beliau menganggap kesilapan lalu sebagai pengajaran dan membuka matanya untuk lebih menghargai isteri serta anaknya.

/ends/

175 dibaca
Berita Harian X