Isnin, 21 Disember 2015 | 4:58pm

30 lagi IKS tempatan dijangka masuk Jepun


KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUM{UR: Sebanyak 30 lagi pengusaha makanan dan minuman bersaiz kecil dan sederhana (IKS) tempatan dijangka menembusi pasaran Jepun, tahun depan. 

Ia susulan komitmen diberikan AEON Co (M) Bhd dalam membantu lebih banyak produk makanan dan minuman IKS tempatan memasuki negara itu, selaras jalinan kerjasamanya dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) selama ini.   

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud, berkata ketika ini hanya enam syarikat Malaysia mempamerkan produk masing-masing di pasar raya AEON Jepun.   

Syarikat berkenaan ialah FAMA dengan jenama Agromas, Dewina Food Industries Sdn Bhd (Brahim's), Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd (Julies), Munchy Food Industries Sdn Bhd (Munchy's), Pacific Food Products Sdn Bhd (Mamee) dan Oriental Food Products Sdn Bhd (Jacker).   

"Sasaran kami berikutnya ialah membuka peluang kepada IKS tempatan mengeksport produk dan perkhidmatan halal ke Jepun, khususnya bagi memanfaatkan jangkaan peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan seumpama itu menjelang Olimpik Tokyo 2020.   

"Program kerjasama dengan AEON itu akan membenarkan produk halal Malaysia dipamerkan di 25 cawangan AEON di seluruh Jepun," katanya.   

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis taklimat dengan pengusaha IKS tempatan mengenai peluang mengakses pasaran Jepun menerusi rangkaian pasar raya AEON di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah Eksekutif AEON Malaysia, Poh Ying Loo.   

Pada sesi taklimat itu, peserta diberi taklimat berhubung strategi untuk mengakses pasaran Jepun menerusi AEON, selain keperluan dan prosedur membekal produk ke pasar raya AEON di Jepun.   

Sementara itu, Yong Loo berkata pengeksport tempatan wajib patuh syarat kemasukan ketat ditetapkan kerajaan Jepun sebelum produk dibenar dipamerkan.   

Beliau berkata, antaranya ialah Standard Industri Jepun (JIS), Standard Perladangan Jepun (JAS), Analisis Bahaya Titik Kawal Kritikal (HACCP) dan Akta Sanitasi Makanan (FSA).   

Nilai perdagangan dua hala Malaysia - Jepun berjumlah RM106.08 bilion bagi tempoh 10 bulan pertama 2015, susut 7.2 peratus berbanding RM114.31 bilion tempoh sama tahu sebelumnya.   

Eksport Malaysia ke Jepun bagi tempoh 10 bulan itu berjumlah RM61.20 bilion, susut 10.4 peratus berbanding RM68.27 bilion tempoh sama 2014.  Eksport halal negara secara keseluruhan pada 2014 berjumlah RM37.691 bilion.   

Olimpik Tokyo 2015 akan diadakan mulai 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

Permintaan terhadap produk halal dijangka meningkat ketara menjelang Olympik 2020 dan Sukan Paralimpik yang bakal menarik pelancong beragama Islam dari seluruh dunia.   

Matrade akan mengambil bahagian dalam FOODEX Jepun, pameran makanan ketiga terbesar dunia, yang akan diadakan di Chiba, Jepun pada 8-11 Mac 2016. 

32 dibaca
Berita Harian X