Isnin, 21 Disember 2015 | 2:44pm

Bolasepak pantai sepanjang malam 31 Disember


YANG Dipertua MPPD, Datuk Ab Khalid Mat. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

PORT DICKSON: Persatuan Bolasepak Daerah Port Dickson dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Shell Refining Company Bhd akan menganjurkan Kejohanan Bolasepak Pantai Sepanjang Malam 1Malaysia 2015 di Pantai Saujana di sini pada 31 Disember ini.

Yang Dipertua MPPD, Datuk Ab Khalid Mat, berkata kejohanan itu akan bermula jam 8 malam (31 Disember 2015) dan dijangka berakhir pada pukul 10 pagi keesokannya (1 Januari 2016).

"Ini adalah penganjuran bagi tahun yang keenam dan ia bermatlamat memupuk minat dalam kalangan remaja khasnya terhadap aktiviti sukan. Melalui kejohanan ini juga, kita berharap dapat meningkatkan aktiviti pelancongan sukan serta menambahkan kemeriahan sempena sambutan tahun baru 2016," katanya.

Katanya, kejohanan pada tahun ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM4,500 untuk johan, naib johan RM2,500, tempat ketiga RM1,500, tempat keempat RM1,000 manakala pasukan yang layak ke pusingan suku akhir masing-masing akan menerima RM500.

Katanya penyertaan adalah dibuka kepada semua pasukan dari dalam dan luar Negeri Sembilan.

"Kejohanan ini terbuka kepada warga negara Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas, borang penyertaan boleh didapati di Pejabat Daerah Port Dickson, MPPD dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Port Dickson.

Borang penyertaan juga boleh dimuat turun dilaman web MPPD (www.mppd.gov.my).

Keterangan lanjut hubungi Ahmad Zabrin Zainal di talian 017-3009843 dan Hamdan Ab Aziz di talian 016-6509949/ 013-6089437.

Bayaran masuk untuk kejohanan ini adalah sebanyak RM100 bagi setiap pasukan. - BERNAMA

Berita Harian X