Ahad, 20 Disember 2015 | 11:28am

Zidane enggan terjebak isu ganti Benitez


LEGENDA Perancis dan jurulatih pasukan remaja Real Madrid, Zinedine Zidane. - Foto AFP

MADRID: Legenda Perancis dan jurulatih pasukan remaja Real Madrid, Zinedine Zidane, tidak mahu memikirkan mengenai khabar angin bahawa dia bakal menggantikan Rafael Benitez.

Meskipun mendapat sokongan penuh daripada presiden kelab itu, Florentino Perez, namun dengan satu lagi kekalahan boleh menyebabkan Benitez berdepan risiko untuk dipecat.

Zidane yang hanya mempunyai pengalaman mengendalikan kelab remaja Madrid, Castilla, menjadi pilihan popular dalam kalangan penyokong dengan statusnya sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan buat Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara Juara Eropah (UCL) 2002.

"Saya tahu mengenai perkara itu (menggantikan Benitez) tetapi pada masa sama, saya tenang kerana hanya memikirkan tanggungjawab dan kerja saya bersama Castilla.

"Apa yang boleh saya katakan, saya menyokong Benitez dan pada pandangan saya, dia orang paling sesuai untuk mengendalikan Madrid. Namun berada di pasukan ini, apa apa pun boleh terjadi hanya dengan satu kekalahan.

"Namun yang penting, Madrid perlu sentiasa mencatat kemenangan. Saya dan semua orang di Madrid berada di belakang Benitez," katanya.

Sebelum ini, Benitez menegaskan hubungannya dengan Zidane tidak mempunyai apa-apa masalah dan mereka boleh bekerjasama dengan baik.

- AFP

Berita Harian X