Ahad, 20 Disember 2015 | 10:29am

Imam Halim masak nasi Arab untuk jemaah


KELUARGA malang yang mati lemas dalam tragedi lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu semalam. Dari kiri; Nurul Arifah, 16, Nurul Adila @Salwati Awang, 39, Abdul Halim Samian, 44, Nurul Aina , 11, dan Nurul Izah (hadapan). Walau bagaimanapun anak bongsu, Mohd Hasif, 9, (hadapan) terselamat kerana tidak mandi bersama ahli keluarganya.

 

PUNCAK ALAM: Imam Sural Al-Furqan, Mohd Halim Samian, yang lemas semalam, adalah penggerak utama masyarakat di kawasan perumahan Fasa 2, Puncak Alam,  berkaitan hal keagamaan dan kemasyarakatan.

Bekas siak surau berkenaan, Ramlan Rashid, 50,  berkata Mohd Halim, 44, yang dikenali penduduk setempat sebagai Imam Halim, adalah individu yang bertanggungjawab terhadap pembinaan surau Al-Furqan itu untuk kemudahan penduduk di situ.

Katanya, Imam Halim berusaha mencari dan mendapatkan dana bagi membolehkan penduduk mendapat kemudahan surau berikutan ketika itu penduduk menjadikan rumah wakaf sebagai surau bagi melakukan aktiviti agama dan beribadah.

"Imam Halim sebagai tonggak dan penggerak utama di sini. Setiap aktiviti agama, mandi mayat, musim korban, dia yang akan menjadi ketua. Jasanya amat besar kepada penduduk di sini.

"Imam Halim juga adalah Ketua Imam di surau ini (Surau Al-Furqan), jurunikah, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, Pengetua Kelas Fardhu Ain (KAFA) Fasa 2 dan guru mengaji.

"Sepatutnya, hari ini (semalam) dia sudah pulang kerana esok pagi (hari ini), dia perlu menikahkan sepasang bakal pengantin," katanya ketika di temui di Surau Al-Furqan, di sini, semalam.

Terdahulu, penduduk Fasa 2 Puncak Alam, melakukan tahlil untuk Mohd Halim, isterinya; Nurul Adila @ Salwati Awang, dan anaknya; Nurul Arifah, Nurul Aina dan Nurul Izah.

Sementara itu, jiran Imam Halim, yang juga Juruteknik di Loji Percetakan Balai Berita Shah Alam (BBSA), Muhammad Razhe Mohammad, 50, berkata Nasi Arab Kambing menjadi juadah terakhir yang dimasak dan dihidangkan sendiri oleh imam itu kepada jemaah serta pelajar tahfiz Surau Al- Furqan sebelum bercuti selama tiga hari.

"Sehingga kini, masih terngiang-ngiang suara arwah mengajak saya menjamah Nasi Arab Kambing yang dimasaknya. Sekiranya tidak menerima pelawaan itu, mungkin saya akan rasa terkilan.

"Sebagai jiran serta rakan terdekat, saya seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku, kerana baru beberapa hari lepas kami berjumpa," katanya sambil menyifatkan Mohd Halim sebagai insan yang sangat pemurah.

Berita Harian X