Sabtu, 19 Disember 2015 | 4:31pm

TMJ tidak iktiraf Anugerah Bola Sepak Kebangsaan


PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak mengiktiraf pemilihan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, walaupun lapan daripada 17 kategori dimenangi skuad Harimau Selatan.

Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) membuat pengakuan itu menerusi temubual yang disiarkan di laman sosial akaun Facebook, Johor Darul Ta'zim (JDT) - Johor Southern Tigers (JST) hari ini.

Tunku Ismail membuat kenyataan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan laman sosial berkenaan dalam satu temubual.

"Tidak. Semasa saya dimaklumkan pihak FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa sendiri," katanya.

Bagaimanapun Tunku Ismail mengucapkan tahniah kepada pemenang anugerah berkenaan.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan diadakan di Petaling Jaya malam tadi.

Berikut adalah wawancara penuh berkenaan yang dipetik daripada Facebook JST:

Wartawan: Tahniah Tunku, kerana JDT telah mendominasi anugerah bola sepak kebangsaan 2015. Adakah Tunku berasa bangga dengan kejayaan pemain JDT?

TMJ: Sudah tentu, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang, tetapi saya tidak mengambil serius anugerah ini, kerana ianya dilihat dipengaruhi politik. Sepatutnya pengiktirafan diberikan kepada yang layak, bukan untuk menjaga hati pihak-pihak tertentu.

Wartawan: Jadi adakah Tunku mengiktiraf anugerah ini?

TMJ: Tidak. Semasa saya dimaklumkan pihak FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa sendiri. Bagi saya, sekiranya hendak mencalonkan anugerah jurulatih terbaik, pilihlah yang mempunyai pencapaian seperti Mario Gomez, Mehmet dan Tan Chen Hoo, yang telah membuktikan kemampuan dengan pencapaian masing-masing.

Mengapa calonkan Zainal yang tiada sebarang pencapaian untuk tahun ini? Manakala untuk anugerah penyokong terbaik pula, mengapa Pahang yang menerimanya, sedangkan stadium mereka tidak sentiasa penuh, seperti di Larkin juga yang kadangkala tidak penuh?

Bagi saya, yang layak menerima anugerah tersebut adalah penyokong Kedah, kerana stadium mereka sentiasa penuh dari awal hingga ke akhir tahun. Berkenaan hal ini pun, saya telah memberikan nasihat kepada FAM, tetapi apakan daya, nasihat saya bukan boleh mengisi kocek sesiapa pun.

Wartawan: Menjunjung kasih, Tunku, kerana meluangkan masa untuk sesi temu bual ini. Ada sebarang pesanan yang ingin Tunku sampaikan?

TMJ: Selamat bercuti hujung minggu.

Pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 itu, lapan daripada 17 anugerah yang dipertandingkan menjadi milik pemain dan pasukan JDT termasuk jurulatih terbaik yang dimenangi Mario Gomez.

Perancang kebangsaan, Safiq Rahim pula dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai iaitu anugerah tertinggi selain selaku Pemain Tengah Terbaik.

Anugerah lain dimenangi oleh JDT adalah Penyerang Terbaik (Amri Yahyah), Pertahanan Terbaik (Aidil Zafuan Abdul Razak), Penjaga Gol Terbaik (Farizal Marlias), Pemain Import Terbaik (Luciano Figueroa).

36 dibaca
Berita Harian X