Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:34am
SHIHA juga pernah mencuba nasib dalam pertandingan Mentor musim kelima (2011). - Foto ihsan Shiha Zikir

Rossa Malaysia `meletop' di Indonesia

LALUAN penyanyi ini dalam bidang seni tidak mudah beberapa teman seperjuangan yang lain. Beliau pernah menyertai program Akademi Fantasia kira-kira sedekad lalu, namun nasib kurang menyebelahinya ketika itu.

Shiha Zikir, 28, juga pernah mencuba nasib dalam pertandingan Mentor musim kelima (2011). Menjadi protege kepada Datuk Sharifah Aini, beliau hanya mampu muncul sebagai pemenang kedua apabila tewas kepada anak didik Erra Fazira, Salma.

Biarpun muncul dengan beberapa lagu sendiri, ia tetap gagal meletakkan Shiha sebaris penyanyi wanita kelas atas negara ini.

Namun, Shiha tidak sesekali mengangkat bendera putih dalam mencari tapak yang kukuh dalam bidang seni.


SHIHA pernah menyertai program Akademi Fantasia kira-kira sedekad lalu, namun nasib kurang menyebelahinya ketika itu. - Foto ihsan Shiha Zikir

Beliau yang dilahirkan dengan nama Nurshiha Mohd Zikir juga tidak kisah untuk terus mencuba, asalkan minat mendalamnya terhadap dunia nyanyian dapat diteruskan.

Malah, wanita ini tidak segan berniaga dalam usaha mencari pendapatan lebih, termasuk menjual kanta lekap, pakaian dan kuih-muih. Apatah lagi beliau sendiri kerap membantu ibu menguruskan gerai menjual cucur udang dan laksa di Pulau Pinang sebelum menyertai bidang seni.

Pendek kata, sejak usianya 18 tahun lagi, si manis berasal dari Pajak Song, Seberang Perai, ini cuba hidup berdikari.

Kini, namanya mula menjadi sebutan apabila menunjukkan persembahan memberangsangkan dalam pertandingan nyanyian, D'Academy Asia, yang rancak berlangsung di Jakarta, Indonesia, sejak lebih sebulan lalu.


SHIHA mula menjadi sebutan apabila menunjukkan persembahan memberangsangkan dalam pertandingan nyanyian, D'Academy Asia di Jakarta, Indonesia. - Foto ihsan Shiha Zikir

Saban minggu, persembahannya mampu menambat hati juri profesional hingga membolehkan dirinya berada pada kedudukan atas dalam saingan. Selain peserta dari Malaysia, rancangan berkenaan turut disertai oleh bakat dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

"Pertandingan ini banyak membantu saya dari segi meningkatkan tahap kerjaya. Ia juga medan terbaik untuk mengembangkan karier, apatah lagi program ini membabitkan empat negara. Secara tidak langsung, bakat saya dapat dipertontonkan bukan hanya di Malaysia, malah negara lain yang bertanding.

"Ia sememangnya peluang keemasan untuk saya. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih dan menerima saya sebagai peserta.

"Impak program ini cukup hebat buat saya. Sejak menyertai D'Academy Asia pada pertengahan November lalu, jumlah pengikut saya di laman sosial seperti Instagram turut meningkat naik. Jumlah 'likes' dan komen juga bertambah. Di laman Instagram, contohnya, kebanyakan pengikut baharu adalah orang Indonesia.

"Keadaan ini memang di luar jangkaan dan sungguh mengejutkan. Saya turut terharu dengan sokongan diberikan. Komen mereka juga sangat membina.

"Pada masa sama, sokongan peminat di Malaysia dan negara bertanding yang lain juga sangat positif. Ia memberikan input dan saya harap sokongan itu akan berterusan sekalipun pertandingan ini sudah berakhir nanti," katanya.

Selain Shiha, empat lagi wakil dari Malaysia pada pertandingan itu ialah Mimi One Nation Emcees, Fitri Hiswady, Syuhada dan Hazman. Bagaimanapun Mimi dan Hazman sudah menamatkan cabaran mereka.

Shiha pula memulakan langkah daripada top 20 dan kini dikecilkan menjadi top 10. Beberapa hari lalu, Shiha mara lagi sebagai sebagai top 8.

"Saingan memang sangat sengit. Peserta dari Indonesia paling memberikan cabaran sengit. Saya harap akan terus mara sampai ke peringkat seterusnya. Peringkat akhir dijangka berlangsung pada 29 Disember ini. Doakan kejayaan saya di sini dan saya akan lakukan yang terbaik.

"Selepas peringkat top 8, dua lagi peserta akan disingkirkan. Daripada dua kumpulan pecahan yang bertanding, iaitu A dan B, enam peserta akhir akan disatukan dalam sebuah kumpulan," katanya.

Juara pertandingan berkenaan bakal membawa pulang wang tunai RM93,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM47,000 dan RM31,000.

Program berkenaan bersiaran pada setiap hari jam 6.30 petang (waktu tempatan) menerusi saluran Indosiar. D'Academy Asia juga boleh ditonton secara online menerusi www.vidio.com.


SHIHA diberi jolokan Rossa Malaysia. - Foto ihsan Shiha Zikir

Sementara itu, mengulas jolokan Rossa Malaysia yang kini diberikan kepadanya sejak menyertai pertandingan terbabit, Shiha berkata, pujian berkenaan terlalu besar untuk dirinya.

Bukan sekadar paras rupa, malah vokal dan cara ketawa Shiha turut disifatkan sesetengah pihak mirip dengan penyanyi yang popular dengan lagu Kamu Yang Kutunggu dan Pudar itu.

"Saya sedar ia hanya pandangan orang dan saya tidak boleh nak kata apa-apa. Saya cuba melihat semua ini dari sudut positif. Sejujurnya, saya bukan hendak meniru beliau. Ikutkan, sejak zaman sekolah lagi, memang ada kawan yang cakap perkara sama.

"Apabila menyertai pertandingan ini, lagi ramai pula yang berkata saya mirip Datuk Rossa," katanya sambil mengakui, arwah bapanya sendiri pernah menyatakan persamaan dirinya dengan artis terkenal Indonesia itu.

71 dibaca
Berita Harian X