Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:16am
MENU Sizzling Tofu yang disediakan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad
MENU Kambing Panggang yang disediakan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad
MENU Udang Goreng Pedas Bersama Kentang yang disediakan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad
MENU Ayam Panggang yang disediakan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad
MENU Sup yang disediakan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad

Mi tarik keistimewaan Amber Cina Muslim


ISMAIL Nuh @ Cui Wei menunjukkan mi tarik yang menjadi menu utama Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Surianie Mohd Hanif

KEASYIKAN menikmati mi tarik bersama kuah sup panas dan serbuk cili, antara punca golongan muda membanjiri restoran yang menyajikan mi tarik asli di Padang Jawa, Shah Alam ketika cuti hujung minggu.

Cita rasa hidangan mi yang ringkas namun berupaya menggantikan fungsi karbohidrat berkenaan menyebabkan ia mudah diterima sebagai satu makanan pilihan sepanjang hari.

Terkini, menambahkan kegilaan masyarakat tempatan terhadap hidangan popular dari Tanah Besar China dengan pilihan makanan halal, iaitu Restoran Amber Cina Muslim dimiliki syarikat di Barat China, Lanzhou, Amber Group Holding.

Memperkenalkan konsep cawangan makanan Cina Muslim pertama di Malaysia, restoran berkenaan sudah memiliki nama kukuh menerusi pembukaan 19 cawangan di China sejak menceburi industri makanan kira-kira lapan tahun lalu.


PENYANYI, Heliza Helmi mencuba makanan di Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad

Pengarah Restoran Amber Cina Muslim, Ismail Nuh @ Cu Wei, berkata restoran itu mula dibuka kepada orang ramai di Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur awal bulan lalu dengan konsep eksklusif tetapi menawarkan harga semurah RM2 hingga RM48 untuk hidangan besar.

Justeru, mereka yang menggemari sajian Cina Muslim pasti tidak sabar menikmati lebih 40 sajian menyelerakan daripada daerah Barat China, termasuk sajian popularnya, iaitu mi tarik istimewa bersama daging cincang.

Antara hidangan yang ditawarkan oleh Restoran Amber Cina Muslim adalah Mi Tarik Daging Tomato, Mi Tarik Sayur Campur dan Mi Tarik Goreng Daging Cincang, Kambing Rebus Bersama Sos Kuning dan Kambing Toothpick.

Selain itu, Daging Masak Cili Berkuah, Ayam Big Plate Bersama Cili, Ikan Masak Cili Berkuah, Kepala Ikan Kukus Bersama Sos Berlada, Tofu Sizzling atau Udang Goreng Pedas Bersama Kentang.

Anda juga boleh mencuba Kambing Panggang, Kaki Kambing Panggang, Sotong Bakar, Kebab Ayam, Kebab Daging, Kebab Kambing dan Kepak Ayam Panggang, Ayam Kampung Sos Pedas, Itik Perap Ala Shanghai, Daging Diraja dan Kambing Cendawan Enoki.


ISMAIL menunjukkan sajian ditawarkan Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Hazim Mohammad

"Semua hidangan tidak menggunakan bahan pengawet seperti asib borik dan rempah ratus serta bahan asasnya di import dari Lanzhou. Pengaruh masakan dan rasa asli hidangan turut dikekalkan, termasuk bahan asas, daging kambing, lembu dan cili yang banyak.

"Kami mengharapkan sambutan baik daripada pelanggan di sini dan mereka berupaya menerima masakan popular Lanzhou seperti mi tarik atau 'La Mien'.

"Dalam setiap hidangan, anda boleh rasakan ketumbar Cina atau lada liar Sichuan yang bagus untuk kesihatan," katanya.

Hidangan Cina Muslim itu antara makanan popular di utara China dan penggunaan daging berupaya memanaskan badan si pemakannya ketika musim sejuk.

Ismail berkata, ia diperkenalkan bangsa Hui iaitu etnik Cina Muslim berikutan komuniti masyarakat berkenaan banyak menggunakan cili dan makanan pedas bagi melawan suhu dingin pergunungan.

Bagaimanapun, situasi sedemikian mungkin berbeza di Malaysia dan sesuai dimakan ketika anda berasa tidak sedap badan atau demam.


CHEF yang didatangkan khas dari China menunjukkan cara membuat mi tarik pada majlis pelancaran Restoran Amber Cina Muslim. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Namun, masakan Cina Muslim di restoran ini diubah suai sedikit daripada segi bahan masakan supaya menepati selera tempatan.

"Cuma cara penyediaannya berbeza berbanding restoran cina Muslim di negara ini dan dimasak chef khas serta pembantunya yang diterbangkan dari China," katanya.

Jangan lupa, cuba juga seleksi minumannya seperti minuman hangat pembuka selera yang diadun dari lapan campuran herba seperti buah goji, kurma merah, bunga kekwa, buah bidara, teh hijau, bijan dan kacang walnut.

INFO

Restoran Amber Cina Muslim

Harga Makanan: RM2 hingga RM48

Lokasi: Unit 1-14, Tingkat 1, Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur

Laman media sosial: Facebook/ Instagram/Twitter/ amberchinesemuslim

Berita Harian X