Jumaat, 18 Disember 2015 | 7:24pm

Madonna tak jadi jayakan konsert di Singapura?

PENYANYI Amerika Syarikat, Madonna ketika membuat persembahan pada Konsert Rebel Heart Tour di Zurich, Switzerland, 12 December lalu. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Konsert Rebel Heart Tour yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada 28 Disember ini dikatakan sudah dibatalkan selepas perincian mengenai jelajah mega Madonna di republik terbabit dipadamkan daripada laman web rasmi bintang tersohor itu.

Kelmarin, menerusi laman web sama pengumuman tarikh konsert penyanyi Material Girl itu di Singapura sudah disahkan dan peminat boleh membuat tempahan keesokan hari.

Menerusi pautan yang disambung terus kepada pembelian pas khas, Icon Live Pass, ia juga menggalakkan pengikut tegarnya mendapatkan tiket awal bersama pakej VIP.

Bagaimanapun, pautan itu turut dihapuskan, serentak dengan maklumat konsert di Singapura pada tarikh jualan awal tiket menerusi maya sepatutnya dibuka.

Semalam, kelab peminat penyanyi itu mengirimkan nota menerusi e-mel kepada ahli menyatakan segala maklumat berkaitan perincian konsert terbabit adalah 'kurang tepat'.

"Sekiranya anda sudah membeli Icon Live Pass bagi tawaran jualan awal, kami akan memulangkan wang anda. Terima kasih di atas sokongan terhadap Madonna. Kami akan berusaha memperbaiki perkhidmatan kami untuk mengelakkan kesilapan di masa depan," katanya.

Terdahulu, menerusi semakan semula di laman web Rebel Heart Tour, tiada lagi maklumat berkaitan konsert di Singapura selain jadual di Manila, Filipina pada 24 dan 25 Februari 2016 serta Taipei dan Bangkok.

Semakan di laman jualan tiket, www.viagogo.com, juga tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai persembahan bintang sensasi terbabit di republik itu.

Menerusi e-mel sama, pihak terbabit memaklumkan semua ahli kelab berkenaan akan diberikan maklumat baharu sebaik saja semua perincian berkenaan Rebel Heart muktamad.

Sementara itu, polis menyatakan kepada Channel NewsAsia, permohonan lesen hiburan di tempat awam untuk konsert itu sudah diterima, namun masih dalam pertimbangan.

Rebel Heart Tour ialah persembahan mega jelajah dunia ke-10 Madonna yang direalisasikan bersempena kemunculan album ke-13, Rebel Heart. Ia bermula di Montreal, Kanada, sejak September lalu dan disambung ke Amerika Selatan, Eropah, Asia hingga tamat di Sydney, Australia, Mac depan.

Berita Harian X