Jumaat, 18 Disember 2015 | 6:44pm

Real nafi Mourinho kembali ke Madrid


PRESIDEN Real Madrid, Florentino Perez (kiri) dan bekas Pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

MADRID: Presiden Real Madrid, Florentino Perez menepis dakwaan Jose Mourinho akan kembali ke Santiago Bernabeu, meskipun masih mengingati lagi "kenangan indah" pengurus itu ketika di Madrid.

Mourinho meninggalkan Chelsea `atas persetujuan bersama' menurut juara Liga Perdana Inggeris itu kelmarin, dua tahun selepas kembali dari Madrid, di mana dia memenangi satu gelaran La Liga dalam tempoh tiga tahun mengambil alih.

Bagaimanapun, seperti dua penggal di Chelsea, Mourinho diselubungi kontroversi di ibu kota Sepanyol dan antaranya dia meninggalkan bilik persalinan apabila pemain yang diketuai kapten, Sergio Ramos melakukan mogok.

Madrid gagal memenangi liga sejak Mourinho meninggalkan pasukan itu dan kini mengekori pendahulu, Barcelona dan Atletico Madrid dengan lima mata.

Biarpun ada khabar angin mengatakan jurulatih Madrid, Rafael Benitez bakal dibuang jika mengalami satu lagi kekalahan selepas enam bulan mengambil alih, Perez menegaskan Benitez dan bukannya Mourinho sebagai orang yang boleh menukar kembali masa depan Real.

"Tiada siapa boleh meramalkan masa depan, tetapi masa ini dia tidak akan kembali ke Madrid," kata Perez kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Ser.

"Benitez dilihat mampu menangani masalah yang kami hadapi. Kami hanya menimbangnya hanya sebagai pilihan.

"Saya mempunyai kenangan indah mengenai Mourinho, dia banyak melonjak tahap pertandingan kami. Ia bukanlah tempoh gelap buat kelab kerana dengan dia kami kembali ke mana kami sepatutnya," katanya.

Laporan di Sepanyol dan Perancis mengatakan jurulatih pasukan remaja Madrid dan legenda kelab itu Zinedine Zidane adalah calon terbaik untuk mengambil alih tempat Benitez jika tiada keputusan yang lebih baik diperoleh dalam minggu-minggu akan datang.

Bagaimanapun Perez mengatakan dia terlalu muda untuk diberikan peranan pengurusan di skuad senior. - AFP

Berita Harian X