Jumaat, 18 Disember 2015 | 1:13pm

Tindakan undang-undang menanti pereka, penyebar berita palsu

MELAKA: Polis Melaka akan menyiasat individu yang sengaja mereka cerita dan menyebarkan kejadian tidak wujud membabitkan 'seorang' kanak-kanak sekolah ditemui mati tergantung di sebuah pasar raya di negeri itu, baru-baru ini.

Siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 atau Akta Hasutan 1984.Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Chuah Ghee Lye, menyifatkan berita penyebaran sebuah patung kanak-kanak berpakaian sekolah digantung di siling pasar raya di sini yang menjadi viral dalam kalangan orang ramai menerusi aplikasi Whatsapp itu sebagai perbuatan nakal dan sengaja mahu mencetuskan khabar angin.

"Saya nak mengingatkan pengguna sosial media jangan buat cerita (reka), mereka boleh disiasat kerana menyalahgunakan media sosial dan mencetuskan huru-hara."Sama juga seperti penyebaran kes seorang kanak-kanak perempuan India diculik, di sini baru-baru ini, itu juga tidak betul.

Kita boleh siasat apa tujuan mereka melakukan sedemikian mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pemakaian pangkat pemangku Deputi Superintendan (DSP) dan Asisten Komisioner (ASP) kepada 21 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, sebentar tadi.Katanya, jika berita yang disebarkan itu turut menimbulkan rasa cemas dalam kalangan rakyat di negara ini, individu berkenaan juga boleh disiasat mengikut Akta Hasutan 1984.

"Bagaimanapun, bagi kes kanak-kanak perempuan India itu, saya belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarganya," katanya.

Berita Harian X