Jumaat, 18 Disember 2015 | 12:00pm

Imigresen Kedah tahan 22 PATI

ALOR SETAR: Pelbagai helah digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak ditahan pihak berkuasa, termasuk tiga wanita warga Indonesia yang ditemui bersembunyi ketika serbuan Ops Sapu di Taman Mutiara, dekat sini, awal pagi tadi.

Tiga wanita terbabit ditemui bersembunyi di bawah katil dan dalam almari ketika penguat kuasa membuat serbuan kira-kira jam 1.30 pagi.

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim, berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Imigresen, Nar Azaman Ibrahim, bersama 12 anggota itu menahan enam PATI serta seorang warga tempatan.

Beliau berkata, di lokasi pertama tiga wanita warga Indonesia diberkas bersama seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun disyaki pemilik rumah sewa itu.

Katanya, di lokasi kedua pihaknya menahan tiga lelaki warga Bangladesh di rumah kongsi di Jalan Bukit Pinang.

"Hasil pemeriksaan, enam PATI berusia antara 24 dan 40 tahun ini tidak memiliki sebarang pas atau permit sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Sementara lelaki tempatan ini ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan," katanya.

Terdahulu, seramai 16 PATI terdiri 12 lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Myanmar ditahan di dua kilang berasingan di Kawasan Perusahaan Mergong, petang semalam.

Mohamad Yusri berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki pas atau permit sah dan tinggal lebih masa dalam negara.

Katanya, semua PATI yang ditahan akan dibawa le Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X