Jumaat, 18 Disember 2015 | 7:03am

Animasi bercorak Islam tambat hati generasi muda

PERKEMBANGAN teknologi yang berlaku hari ini membawa impak sosial yang hebat dalam aspek tamadun bangsa. Isu identiti bangsa dan warisan Islam semakin dipinggirkan, terutama oleh generasi muda yang hanyut dibuai pesona budaya asing yang dibawa oleh Barat.

Teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah melalui pelbagai medium yang disediakan. Contohnya aplikasi internet, drama, filem dan iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai.

Masyarakat amat terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di media massa. Justeru, ia adalah peluang untuk pendakwah teknologi menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing, memainkan peranan dan memikul tanggungjawab dakwah. Di sinilah pentingnya ruang dan kepakaran itu dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat.

Apa yang perlu digarapkan adalah penghasilan drama, filem dan iklan memerlukan tenaga tunjang iaitu pengarah, penerbit dan penulis skrip yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam dalam setiap produk mereka. Daripada sini bermulanya pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat yang memerlukan alternatif lain bagi kepelbagaian tontonan mereka.

Pembangunan jiwa ummah

Kanak-kanak juga adalah kelompok yang tidak boleh dipencilkan dalam arena dakwah. Generasi muda yang terdidik dengan acuan yang betul mampu memberi corak yang positif terhadap pembangunan negara. Justeru, pembangunan negara yang mapan perlu bermula dengan pembangunan jiwa ummah yang mantap.

Industri di negara kita masih kekurangan dan memerlukan lebih banyak animasi bercorak Islam yang mewarnai dunia hiburan kanak-kanak supaya mereka terdidik dengan ajaran Islam yang sebenar dengan cara lebih menarik.

Bukan setakat kualiti maklumat yang disalurkan dalam animasi itu dipentingkan, malah ia satu cabang dakwah yang berkesan untuk menambat hati generasi muda dan kanak-kanak. Itulah elemen yang mampu disuntik dalam kerangka pembangunan jiwa ummah bagi golongan teknodaei yang tercari-cari peluang dan ruang yang mudah untuk mendekati masyarakat.

Dominasi media elektronik juga perlu diperbanyakkan dengan pengamal, peneraju, pembikin dan penyampai yang berkualiti dari aspek sahsiah dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap dakwah. Dari sini, akan lahir produk yang pengetahuan dan pengajaran Islam untuk dihidangkan kepada masyarakat.

Berdakwah tidak hanya terhad dengan cara yang membabitkan pendengar atau penonton, tetapi kalangan pembaca juga perlu diambil kira. Sastera dan novel mampu dijadikan alat dakwah dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya memahami Islam secara menyeluruh.

Kerjasama pengkarya

Kerjasama antara pengkarya, pengamal filem dan golongan agama perlu disinergikan supaya filem atau novel yang dihasilkan mempunyai nilai tinggi. Bagi mencari kepelbagaian dalam penyampaian dakwah, novel Islam boleh diadaptasi dalam bentuk filem. Ia adalah satu bentuk usaha yang bermotifkan dakwah kerana teknologi sekarang tidak seharusnya merencatkan perkembangan Islam.

Teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman mengenai agama. Di sini wujud halangan yang sebenar dalam dakwah iaitu berlakunya penyampaian semata-mata tanpa ada unsur tarbiah dan mungkin hanya bergantung kepada teknologi semata-mata.

Keprihatinan terhadap perubahan sosial yang melanda tamadun dan budaya warisan bangsa oleh arus kemajuan teknologi ini mendorong Universiti Teknologi MARA Melaka menganjurkan Persidangan Antarabangsa Warisan Islam bertemakan Warisan Islam Memacu Warisan Bangsa baru-baru ini bagi mengangkat budaya, pemikiran dan ilmu warisan kecemerlangan Islam dalam konteks teknologi.

Teknologi sentiasa berkembang dan harus difikirkan bagaimana untuk mengembangkan kesedaran masyarakat dalam mensinergikan pembangunan teknologi dengan pembangunan insan. Realiti hari ini dapat dilihat terpisahnya golongan agama dan profesional seolah-olah satu bentuk sekularisme. Ia terhasil daripada pendidikan yang memisahkan agama dan ilmu. Kemajuan teknologi dianggap gagal sekiranya ia tidak dapat menghubungkan manusia dengan Allah.

Oleh itu, manfaat daripada perkembangan teknologi perlu digunakan dalam usaha teknodaei mendekati masyarakat pada masa kini bagi pembangunan jiwa ummah. Yang penting, penggunaan teknologi perlu secara seimbang dan bijaksana.

40 dibaca
Berita Harian X