Jumaat, 18 Disember 2015 | 12:27am

Remaja hilang di Gunung Tok Wan

SEMENYIH: Selepas sembilan jam sesat ketika beriadah di Gunung Tok Wan di sini, seorang remaja berusia 18 tahun ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, petang tadi.

Bagaimanapun, seorang rakannya yang berusia 19 tahun dilaporkan masih hilang setakat jam 12 tengah malam ini.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata Chai Ming Sueng ditemui dalam keadaan lemah pada jam 5.41 petang, kira-kira 2.3 kilometer dari puncak Gunung Tok Wan selepas dilaporkan hilang sejak jam 8 pagi semalam, rakannya, Teh Tung Seng.

"Mereka dilaporkan mendaki gunung berkenaan untuk beriadah tetapi tersesat. Kehilangan mereka disedari beberapa rakan yang bersama mendaki gunung sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

"Berdasarkan maklumat, anggota kami dapat menghubungi seorang mangsa menerusi telefon bimbitnya, namun tindakan mereka yang kerap bergerak mencari laluan keluar menyukarkan usaha mengesan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

 

Mohd Sani berkata, usaha giat dilakukan untuk mengesan Tung Seng yang dikatakan mengalami cedera ringan.

Difahamkan, Ming Sueng terpaksa meninggalkan rakannya yang cedera di bawah pokok di hutan berkenaan bagi meneruskan usaha mencari jalan keluar.

Berita Harian X