Khamis, 9 Oktober 2014 | 9:16pm

1MDB, Lend Lease tingkat kemajuan projek TRX Lifestyle Quarter

KUALA LUMPUR: 1MDB Real Estate (1MDB RE) dan Lend Lease mencapai kemajuan yang baik dalam kerjasama mereka, merancang dan proses dokumentasi dalam pembangunan projek Lifestyle Quarter di Tun Razak Exchange (TRX) di sini.

Mereka mencapai kejayaan yang besar dalam memeterai Perjanjian Rangka Kerja Induk Usahasama Lifestyle Quarter, menggariskan terma-terma utama cadangan usaha sama itu.

"Kami semakin hampir untuk menjadikan visi bersama kami realiti. Jenama global Lend Lease, yang membawa bersama pengalaman pasukan itu dalam pembinaan projek dengan magnitud sama, adalah tidak ternilai kepada pembangunan TRX," kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB RE Datuk Azmar Talib dalam kenyataan hari ini.

1MDB RE dan Lend Lease sedang memuktamadkan dokumentasi perundangan yang lain berkaitan dengan pembangunan usahasama Lifestyle Quarter bagi beberapa bulan akan datang.

Lifestyle Quarter di TRX dijangka terdiri daripada pembangunan kegunaan bercampur seluas lebih 6.8 hektar merangkumi sebuah hotel, tiga menara kediaman dan pusat beli-belah.

Pembangunan Lifestyle Quarter dijangka menarik sehingga AS$1 bilion (RM3.2 bilion) dalam pelaburan langsung asing ke Malaysia.

Lend Lease akan menjadi pemegang saham majoriti dalam usaha sama itu manakala 1MDB RE akan memegang kepentingan utama. - BERNAMA

Berita Harian X