Khamis, 17 Disember 2015 | 12:02am
i-Warner adalah sistem amaran banjir ciptaan penyelidik UniSZA yang mendapat pingat emas dalam Pertandingan Inovasi Antarabangsa Geneva pada tahun 2014. - Foto ihsan UniSZA
KERJA pemasangan i-Warner di kawasan yang sering dinaiki air di sekitar UniSZA, Kampus Gong Badak. - Foto ihsan UniSZA

UniSZA cipta sistem amaran banjir i-Warner



SISTEM amaran banjir dikenali sebagai Intelligent Weather Station and Flood Warning System atau i-Warner, yang direka penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencipta sejarah apabila mendapat pengiktifaran antarabangsa.

Produk ini ditambah baik dengan aplikasi cuaca bersepadu membabitkan cerapan data semasa bagi hujan dan suhu selepas kejayaan membawa pingat emas di Pertandingan Inovasi Antarabangsa di Geneva, Switzerland, tahun lalu. 

I-Warner berfungsi dengan menyalurkan segala maklumat melalui empat pengesan iaitu suhu, kelembapan, hujan dan paras air, terus kepada pengguna melalui Teknologi 'Internet of Things (IoT)'. 

Malah, sistem itu yang berfungsi sepenuhnya dengan menggunakan sistem solar, mampu bertahan selama tiga hari tanpa cahaya matahari.

Dari segi spesifikasi, i-Warner hanya memerlukan bateri 12 volt, yang mampu bertahan selama tujuh hari tanpa cas dengan menggunakan tenaga solar bagi pemantauan data cuaca. 


PROF Dr Mohd Ekhwan menerangkan mengenai i-Warner, sistem amaran banjir yang dipasang di UniSZA Kampus Gong Badak. - Foto Rozainah Zakaria

Timbalan Naib Cancelor (Penyelidikan dan Pembangunan) UniSZA, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata idea untuk mencipta i-Warner timbul tahun lalu selepas beberapa siri banjir terutama di kampus UniSZA menyebabkan banyak harta benda awam dan persendirian mengalami kerosakan.

Katanya, produk inovasi yang dibangunkan melalui geran prakomersial UniSZA dan dana khas forensik banjir, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu diketuai Pensyarah Kanan dari Fakulti Informatik dan Komputeran, Ahmad Nazari Mohd Rose.

"I-Warner ini mampu menyalurkan amaran dan maklumat awal mengenai kedalaman air secara tepat, terus kepada mangsa banjir atau pengguna menerusi telefon pintar secara dalam talian melalui laman web i-Warner," katanya yang ditemui BH Plus di UniSZA Kampus Gong Badak, di Kuala Nerus, Terengganu, di sini.

Katanya, sistem i-Warner berbeza dengan aplikasi sistem amaran sedia ada yang banyak dipasang di pinggir sungai.

i-Warner memberi maklumat secara masa nyata (real time) dan pengguna juga boleh melihat semua data bacaan yang dikemas kini secara automatik setiap 10 minit. 


‘Timbalan Presiden’ Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Selain itu, kos pemasangan dan penyelenggaraan i-Warner lebih rendah berbanding sistem sedia ada.

"Sistem ini juga boleh dipasang di lokasi tanah rendah yang berpotensi mengalami banjir seperti di kawasan perumahan, industri, sekolah dan jajaran jalan raya yang mudah dinaiki air," katanya. 

Prof Mohd Ekhwan berkata, pihaknya melihat sistem yang dicipta itu setanding dengan pencipta luar negara serta mampu untuk diguna pakai agensi kerajaan dan swasta di negara ini.

Katanya, beberapa pihak, termasuk agensi kerajaan menunjukkan minat untuk memperolehi i-Warner itu dan buat masa sekarang, sistem itu akan diperluaskan penggunaanya di sekitar kampus UniSZA.  

Ketika ini, i-Warner telah dipasang di kawasan rendah, yang sentiasa dinaiki air di sekitar kampus.


i-Warner berfungsi dengan menyalurkan maklumat suhu, kelembapan, hujan dan paras air, terus kepada pengguna melalui telefon pintar. - Foto ihsan UniSZA

Kumpulan penyelidik ketika ini juga sedang membuat kajian lanjut untuk penambahbaikan sebelum dikomersialkan.

Harga produk ini dijangkakan antara RM20,000 dan RM30,000 seunit, jauh murah berbanding sistem sedia ada di pasaran yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Ekhwan berkata, pemasangan i-Warner di lokasi yang sering dinaiki air, dapat membantu penduduk yang sering menjadi mangsa banjir untuk lebih bersedia.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk memasang alat itu di Kuala Krai, Kelantan bagi membantu penduduk setempat terutama di lokasi paling teruk yang dilanda banjir, tahun lalu.

23 dibaca
Berita Harian X