Rabu, 16 Disember 2015 | 9:27pm

Komponen BN Sarawak perlu kompromi agihan kerusi - Adenan


PENGERUSI BN negeri, Tan Sri Adenan Satem hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, lewat petang tadi. - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan empat parti komponen dan parti rakan Barisan Nasional (BN) Sarawak hanya akan diputuskan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11). 

Dua daripada parti terbabit iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) adalah komponen BN Sarawak.

Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) pula menjadi rakan BN sejak dibentuk hampir dua tahun lalu. 

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Adenan Satem, berkata jika empat parti terbabit enggan berkompromi dalam isu pembahagian kerusi, beliau perlu membuat keputusan muktamad bagi memastikan BN benar-benar kukuh untuk menghadapi PRN-11.

"Kita tidak mahu melihat ada pertandingan tiga penjuru (antara komponen BN, parti rakan BN dan pembangkang) kerana ia hanya akan mengelirukan rakyat untuk membuat pilihan.  

"Kita sekarang berdepan pembangkang seperti DAP dan PKR yang memang serius melawan BN, bukannya calon BEBAS seperti yang berlaku pada tahun 1980-an," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian pada sidang media di pejabatnya selepas selesai Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, lewat petang tadi.

UPP yang diketuai oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh adalah serpihan SUPP manakala TERAS pula diwujudkan oleh bekas Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom.   

Berita Harian X