Selasa, 15 Disember 2015 | 4:20pm

Pemilik premis di Perlis culas bayar cukai pintu

KANGAR: Pemilik premis di negeri ini diberi amaran untuk membayar tunggakan cukai pintu dengan segera bagi mengelak premis mereka disita dan dilelong.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Suhaimi Abd Majid, berkata terdapat lebih RM11 juta nilai tunggakan cukai pintu yang tidak dijelaskan bagi tempoh satu tahun hingga lebih 10 tahun oleh pemilik premis di Perlis, membabitkan bangunan kedai dan rumah kediaman.

Beliau berkata, ada pemilik yang mampu menjelaskan cukai pintu, tetapi sengaja tidak berbuat demikian menyebabkan MPK terpaksa bertegas dalam mengenakan tindakan.

"Ada pemilik premis seolah-olah mempermainkan kemampuan MPK untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, malah lebih biadap ada yang mengoyak kertas notis peringatan pembayaran di hadapan pegawai petugas yang menyerahkan notis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyertai operasi menyita dua premis yang tidak membayar tunggakan cukai pintu sejak sembilan tahun dan enam tahun lalu.

Operasi oleh 16 anggota diketuai oleh Exco Pentadbiran dan Penguatkuasaan MPK, Sabri Othman itu membabitkan premis perniagaan di Taman Bukit Kaya dan Jalan Sekolah Derma, di sini, yang masing-masing mempunyai tunggakan cukai pintu RM18,000 dan RM21,000.

Suhaimi berkata, sebelum sesebuah premis disita, pemilik premis berkenaan akan diberi notis peringatan sebanyak tiga kali bagi memberi peluang kepada mereka menjelaskan pembayaran dalam tempoh seminggu.

"Dalam tempoh itu, pemilik premis terbabit diberi peluang untuk berunding dan mereka boleh menjelaskan tunggakan secara ansuran, sehinggalah tindakan selanjutnya merampas barangan dalam premis untuk dijual bagi menampung nilai hutang tunggakan," katanya.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, jika hasil daripada jualan barangan dalam premis berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung tunggakan, tindakan akhir ialah membawa kes ke mahkamah bagi mendapat perintah melelong premis terbabit hingga mampu menampung keseluruhan nilai tunggakan. - BERNAMA

Berita Harian X