Isnin, 14 Disember 2015 | 6:11pm

Mayat kanak-kanak tersangkut pada jaring sampah


LOKASI kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh di dalam longkang besar berhampiran rumah pangsa Desa Chempaka. - Foto Hazreen Mohamad

NILAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran rumah pangsa Desa Chempaka di sini pagi tadi, ditemui lemas kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan 11 Ahmad Ridwan Yahya, berkata mayat G Sugumaran ditemui tersangkut pada jaring sampah di Sungai Labu di sini, kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari dan dua jentera bersama 12 anggota dihantar ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Anggota bomba dibahagikan kepada tiga kumpulan dan menyusuri longkang besar itu sehingga Sungai Labu.

"Selepas hampir dua jam mencari, mereka menemui mayat mangsa," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Ridwan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban.

Berita Harian X