Isnin, 14 Disember 2015 | 6:10pm
GAMBAR Zarul, vokalis kumpulan Umbrella yang dimuat naik di gimnasium. - Foto instragram Zarul

Peminat lelaki minta Zarul tanggal baju

GAMBAR Zarul, vokalis kumpulan Umbrella yang dimuat naik di gimnasium. - Foto instragram Zarul

KUALA LUMPUR: Gara-gara sering memuat naik gambar di gimnasium ke laman sosial, vokalis kumpulan Umbrella, Zarul, 42, menerima komen berbaur lucah daripada peminat.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak ambil pusing komen sedemikian, sebaliknya beliau berkata, perkongsian gambar terbabit adalah bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

"Pelbagai reaksi saya terima, tidak kira daripada peminat lelaki mahupun perempuan apabila saya berkongsi gambar di Instagram. Malah, ada lelaki yang meminta saya menanggalkan baju ketika bergambar di gimnasium.

"Namun, saya tidak terkesan dengan komen sebegitu kerana bagi saya, ia perkara biasa saja. Lagipun, kebanyakan komen ditinggalkan di laman sosial ditulis oleh golongan remaja.

"Alhamdulillah, isteri saya amat memahami dan tidak pun menegah saya daripada memuat naik gambar ketika berada di gimnasium. Isteri tidak kisah asalkan saya tidak melanggar batasan, seperti menayangkan badan dan tidak membuka aurat," katanya kepada BH Online.

Zarul berkata, faktor usia yang semakin meningkat menjadi antara faktor pendorong beliau mengawal pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan latar belakang keluarganya yang turut mempunyai sejarah sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, ia membuatkan Zarul lebih tekad menjaga kesihatan.

Dedahnya juga, beliau perlu mengawal berat badan supaya tidak melebihi 76 kilogram sebagai syarat ditetapkan untuk pramugara Malaysia Airlines (MAS).

"Saya perlu menjaga berat badan supaya tidak melebihi jumlah ditetapkan mengikut ketinggian. Setiap pramugara mempunyai piawaian tersendiri yang perlu untuk dipatuhi," katanya.

Menurut lelaki ini lagi, buat masa ini beliau selesa bekerja di awan biru yang dianggap sebati dengan jiwanya.

"Saya tiada perancangan untuk berhenti buat masa ini kerana lebih selesa bekerja dan menyanyi pada masa sama," kata Zarul yang sudah 16 tahun berkhidmat bersama syarikat penerbangan terbabit.

Berita Harian X