Isnin, 14 Disember 2015 | 2:53pm

PT3: Sisipan Minda BH bantu pelajar raih 10A

PENGETUA Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong, Che Sapora Ibrahim (dua kanan) bersama belajar yang mendapat keputusan 10 A dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Muhd Adam Jefri (kanan) , Krishah Elaypen (dua kiri) dan Mohd Mukhzuhayr Mohd Rashid (kiri) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong. - Foto Nazran Jamel

SUBANG: Walaupun tidak pernah menghadiri kelas tuisyen atau mengeluarkan belanja besar untuk membeli bahan rujukan, itu bukan halangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang, di sini, Hasnur Insyirah Hasnul Hadi, 15 meraih 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2015 yang diumumkan tadi.

Hasnur Insyirah berkata, bagi memastikan mampu menguasai setiap mata pelajaran, beliau memberi fokus kepada pengajaran guru dan membuat latihan tubi diberikan sekolah secara berterusan sejak awal tahun, termasuk melalui sisipan Minda BH.

"Saya juga mengadakan perbincangan berkumpulan bersama teman rapat, merujuk kepada rakan senior dan banyak 'mengkaji' soalan PT3 tahun lalu sebagai inisiatif untuk mengatasi kelemahan.

"Bagi saya apa yang penting, belajar dengan tenang, banyakkan mencari ilmu tambahan dan cuba memahami topik," katanya.

Anak kepada pasangan mekanik, Hasnul Hadi Abdullah, 44 dan tukang jahit, Noor Asmak Salleh, 41, itu berkata kejayaan berkenaan juga adalah berkat komitmen guru yang sentiasa memberikan latihan dan tunjuk ajar tanpa jemu, selain beliau sendiri rajin bertanya kepada guru.

Berita Harian X