Isnin, 14 Disember 2015 | 8:16am

Arsenal kembali teratas liga


PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Villa Park, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Arsenal meraikan minggu yang sempurna apabila menang selesa 2-0 ke atas Aston Villa, sekali gus memotong Manchester City sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Selepas mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah Rabu lalu selepas menang 3-0 ke atas Olympiakos dengan Olivier Giroud meledak hatrik, sekali lagi penyerang Perancis itu menyinar untuk gol pertama menerusi penalti ke atas Aston Villa.

Aaron Ramsey pula menjaringkan gol kedua pada minit ke-38 bagi melengkapkan minggu cemerlang skuad kendalian Arsene Wanger itu.

"Ia minggu yang sempurna bagi kita. Kami mengerah banyak tenaga ketika Liga Juara-Juara Rabu lalu dan kami melakukannya lagi hari ini untuk perlawanan di gelanggang lawan," katanya kepada BBC.

Sementara itu, rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur selama 14 perlawanan berakhir apabila tewas 2-1 kepada Newcastle United.


PEMAIN Tottenham Hotspur kecewa selepas tewas 1-2 kepada Newcastle United, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Tottenham mempunyai peluang merapati Manchester United sekiranya menang ke atas Newcastle, namun keputusan itu menjadikan mereka kekal di tangga kelima liga.

Gol kemenangan Newcastle diperoleh menerusi jaringan lewat pemain gantian, Ayoze Perez pada minit ke-93.

Sebelum itu, Aleksandar Mitrovic menyamakan kedudukan pada minit ke-74 selepas Tottenham mendahului jaringan pada menerusi Eric Dier pada minit ke-39. - AFP

Berita Harian X