Ahad, 13 Disember 2015 | 7:29pm

Beberapa kawasan di Shah Alam, Sungai Buloh dilanda banjir

KAWASAN perumahan di taman Seri Alam banjir selepas hujan turun dalam dua jam. - Ihsan Pembaca

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di Shah Alam dan Sungai Buloh dilanda banjir kilat selepas hujan lebat bermula jam 3 petang tadi.  

Antara kawasan yang dinaiki air adalah beberapa kawasan di Seksyen 7, di sini, Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dan beberapa kawasan berdekatan. 

Banjir kilat itu turut menyebabkan kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan dinaiki namun keadaan kembali pulih selepas hujan berhenti kira-kira jam 5 petang tadi.  

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul, berkata enam lokasi banjir kilat dilaporkan kepada pihaknya iaitu di Lorong Gajah, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh; Kampung Bukit Cherakah, Batu 3, Jalan Kapar dan Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Kampung Sri Aman Puchong. 

Katanya, bagi semua kawasan berkenaan tiada pusat pemindahan yang dibuka kerana air naik untuk tempoh yang singkat sebelum surut semula selepas hujan berhenti. 

"Namun di Kampung Chinchang, Sepang, seramai 15 keluarga dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan sementara menunggu air surut," katanya.

Berita Harian X