Ahad, 13 Disember 2015 | 8:46am

Jerman tetap waspada ancaman Kumpulan C

BOS Jerman, Joachim Loew. - Foto EPA

PARIS: Bos Jerman, Joachim Loew menyifatkan pasukannya tidak mahu memandang ringan Ukraine dan Ireland Utara yang dilabelkan 'mudah' selepas mereka diundi dalam Kumpulan C saingan Euro 2016, malam tadi.

Juara dunia itu dijadual berdepan Ukraine di Lille untuk perlawanan pembukaan pada 12 Jun ini diikuti Poland (16 Jun) dan Ireland Utara di Paris pada 21 Jun.

"Ini bermakna kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya sejak dari perlawanan pertama," kata Loew selepas undian di Paris.

"Poland mempunyai banyak kualiti tetapi Ireland Utara dan Ukraine mempunyai corak permainan bertahan dan serangan balas maka ia bukan satu perlawanan yang mudah.

"Kami menjadi pasukan pilihan dan kami mahu memenangi peringkat kumpulan ini."

Sementara itu, pengurus pasukan Jerman, Oliver Bierhoff gembira dengan undian berkenaan kerana dapat mengelak pertemuan dengan Itali.

"Kami sedikit bertuah dan sememangnya mahu mengelak pertemuan dengan Itali," kata Bierhoff.

"Apapun, sudah tentu kami perlu memandang serius saingan lawan di peringkat kumpulan ini."

"Saya menjaringkan hatrik terpantas ketika itu," kata Bierhoff yang menjaringkan kesemua gol Jerman ketika pasukan menang 3-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1998 di Belfast pada Ogos 1997. - AFP

Berikut adalah undian kumpulan Euro 2016 bermula 10 Jun tahun depan di Perancis:

Kumpulan A: Perancis, Romania, Albania, Switzerland

Kumpulan B: England, Russia, Wales, Slovakia

Kumpulan C: Jerman, Ukraine, Poland, Ireland Utara

Kumpulan D: Sepanyol, Republik Czech, Turki, Croatia

Kumpulan E: Belgium, Itali, Ireland, Sweden

Kumpulan F: Portugal, Iceland, Austria, Hungary

Berita Harian X